Steven Sim Chee Keong
Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bukan dibentangkan secara terburu-buru atau bersifat khayalan, sebaliknya dirangka selepas melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya telah mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada semua segmen yang terlibat sebelum RUU tersebut dimuktamadkan.

“RUU ini bukan dibuat atas angin, imaginasi ataupun khayal Kesuma semata-mata. Ia dirangka setelah mendapatkan maklum balas dari semua pihak,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan walaupun akan ada pihak yang berpuas hati sepenuhnya, kementeriannya yakin draf undang-undang tersebut mampu memberikan perlindungan asas yang lebih baik kepada golongan pekerja gig.

“Sudah tentu ia tidak dapat memuaskan semua pihak, tapi semua pihak telah kita rujuk dan saya harap semua pihak khususnya Ahli-ahli Parlimen saya merayu terutamanya di belah kerajaan dan pembangkang.

“Marilah sama-sama kita menjayakan dan meluluskan RUU ini supaya pekerja gig kita meliputi 1.2 juta pekerja ini di mana mereka tidak lagi bertarung nyawa untuk bangunkan ekonomi negara dan berikan keselesaan kepada hidup kita,” ujarnya.

Sim turut merayu supaya Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak mengetepikan perbezaan politik demi menjayakan usaha memperkukuh kebajikan pekerja ekonomi digital.

“Saya harap kita sama-sama kepikan perbezaan dan luluskan RUU Gig ini,” katanya.

RUU Pekerja Gig 2025 digubal bagi menyediakan rangka perundangan khusus untuk melindungi hak pekerja dalam sektor ekonomi digital termasuk penghantar makanan, pemandu e-hailing serta penyedia perkhidmatan bebas (freelancer) yang kini dianggarkan berjumlah lebih 1.2 juta orang di Malaysia.

RUU tersebut dilihat sebagai langkah penting untuk menutup jurang perlindungan sosial antara pekerja tradisional dengan mereka yang terlibat dalam pekerjaan tidak formal, selain memastikan penglibatan sektor gig menyumbang secara lebih mampan kepada ekonomi negara.

RUU Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja sektor berkenaan, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast