Nik Faisal Ariff Kamil (kiri) dan Low Taek Jho.

 

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mendapat perbicaraan yang adil dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selagi ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil tidak dibawa pulang ke Malaysia.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa kedua-dua individu berkenaan masih gagal ditangkap dan dibawa pulang sehingga kini.

“Semalam Mahkamah diberitahu Jho Low dan Nik Faisal adalah “culprit” sebenar.

“Masalahnya mereka berdua adalah “pelarian” yang masih tidak mampu dibawa pulang. Kalau tidak bersalah mereka tidak akan lari.

“Menurut peguamnya, Najib menjadi kambing hitam kerana salah tadbir urus korporat. Najib figurehead yang dilonggokkan segala kesalahan ke atasnya. Maksudnya, Najib mangsa pendakwaan terpilih,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Mohd Puad Zarkashi

Sementara itu, Mohd Puad turut mempersoalkan mengapa Malaysia masih ketinggalan dalam kaedah membawa balik pelarian korporat.

Sedangkan, ujar beliau, negara luar sudah pun menangkap dan menghukum beberapa individu yang dikaitkan dengan kes 1MDB seperti bekas pegawai tinggi Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dan bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng.

“Jasmine Loo yang juga pelarian, dapat ditangkap tetapi untuk menjadi “crown witness”.

“Polis merampas aset bernilai RM93.2 Juta atas namanya,” kata beliau.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Jho Low mempunyai agendanya sendiri dengan mengambil kesempatan terhadap atau 1MDB untuk kepentingan peribadi.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib berhujah bahawa Jho Low telah menempatkan ejen dalam syarikat itu, antaranya Nik Faisal Ariff untuk melaksanakan rancangannya. – MalaysiaGazette

Pegawai tertinggi SRC berkonspirasi, Najib tidak terlibat – Peguam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast