KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, hari ini, diberitahu tiada bukti yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak terhadap dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn. Bhd., sebaliknya perbuatan itu hasil konspirasi pengarah-pengarahnya.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah, jika wujud konspirasi, ia di antara ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil yang dibantu oleh pengarah lain tanpa membabitkan Najib.
Hujah beliau, Jho Low mempunyai agendanya sendiri dan memanfaatkan bukan sahaja SRC International, malah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengaut kekayaan peribadi.
“Dia mempunyai ejen seperti Nik Faisal dalam SRC untuk melaksanakannya. Ia dilakukan tanpa penglibatan Najib kerana kehadiran bekas Perdana Menteri akan mengekang tindakan mereka.
“Mereka tidak memerlukan pembabitan Najib kerana sudah tentu beliau akan menegaskan soal ketelusan sekiranya menyedari agenda mereka (sebagaimana beliau kemudian menyokong siasatan apabila isu ini terbongkar),” hujah peguam.
Muhammad Farhan selanjutnya menghujahkan, dalam undang-undang, seseorang hanya boleh dipertanggungjawabkan terhadap konspirasi jika terlibat atau menjadi sebahagian daripada penjanjian tersebut.
“Seseorang tidak boleh diseret masuk hanya kerana beliau seorang ketua. Kami menggesa mahkamah supaya tidak membiarkan penipuan yang keterlaluan yang dilakukan oleh orang lain sehingga mencipta `liabiliti kambing hitam’ kepada pihak lain tanpa sebarang bukti,” hujahnya.
Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.
SRC International, di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
Plaintif juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 24 September ini. – MalaysiaGazette
















