JOHOR BAHRU – Dua pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas dua pertuduhan menyamar sebagai polis serta melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki pada 21 Ogos lalu.
Tertuduh, Mohamad Syafiq Zakaria dan Mohamad Sulaiman Ab Rahman kedua-duanya berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam dan Majistret Atifah Hazimah Wahab setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyamar sebagai anggota polis sambil mengarahkan dua individu, seorang lelaki dan seorang wanita keluar dari sebuah kereta di Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, pukul 11.30 malam pada tarikh berkenaan.
Oleh itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif dan Nik Noratini Nik Azman.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap mangsa hingga menyebabkan mangsa kerugian RM2,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Duku 14, Taman Kota Masai, pada masa dan tarikh sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif dan Nik Noratini Nik Azman menawarkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.- MalaysiaGazette















