KUALA LUMPUR – Kedutaan Palestin di Malaysia mengutuk serangan sistematik Israel terhadap wartawan di Gaza sebagai usaha disengajakan untuk menyekat liputan mengenai krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, kedutaan itu berkata kuasa pendudukan berterusan menghalang wartawan Arab dan antarabangsa daripada memasuki Gaza dengan alasan ia adalah zon operasi ketenteraan, sekatan yang ditegaskan bertujuan mengawal naratif dan menyembunyikan realiti sebenar di lapangan.
“Pendudukan Israel telah meningkatkan serangan ke atas wartawan Palestin, dengan melakukan pembunuhan bersasar, penahanan sewenang-wenangnya dan rampasan peralatan untuk menghalang laporan bebas.
“Hanya wartawan dan koresponden Palestin yang masih berada di Semenanjung Gaza untuk mendokumentasikan dan melaporkan keadaan. Individu-individu ini berdepan bahaya besar, termasuk sengaja disasarkan dan dibunuh oleh tentera Israel dalam usaha untuk menghalang laporan mereka,” menurut kenyataan itu.
Sekurang-kurangnya 238 petugas media telah dilaporkan terbunuh dalam kekejaman berterusan Israel setakat 25 Ogos.
Kenyataan itu menyebut dalam insiden terbaharu pada 25 Ogos, serangan udara Israel ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis telah membunuh lima wartawan. Mereka ialah Hossam Al-Masri, yang bekerja untuk Palestine TV dan Reuters, Muhammad Salama dari Al Jazeera, Mariam Abu Daqqa dari Independent Arabia dan Associated Press, serta Muath Abu Taha dan Ahmad Abu Aziz dari NBC.
Dua lagi wartawan, Hatem Omar (Reuters) dan Jamal Badah (Palestine Today TV), dilaporkan cedera dalam serangan itu.
Pada hari yang sama, seorang koresponden Al-Hayat Al-Jadida, Hassan Yusuf Dohhan, telah ditembak mati oleh tentera Israel ketika berada di dalam khemah di kem pemindahan di Khan Yunis.
Ini susulan pembunuhan Khaled Al-Madhoun, seorang jurukamera Palestine TV, pada 23 Ogos di utara Gaza ketika sedang mendokumentasikan krisis itu.
Kedutaan itu juga mengetengahkan bahawa kira-kira 147 wartawan termasuk 20 wanita telah ditahan dan dikenakan penderaan fizikal dan psikologi termasuk kehilangan paksa, pengabaian perubatan dan rampasan peralatan, yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 2222 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Ia menyatakan bahawa Palestinian Journalists Syndicate (PJS) giat mendokumentasikan pelanggaran, menyokong petugas media yang terjejas dan mengecam tindakan Israel sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Walaupun terdapat ancaman terhadap ahlinya dan kemusnahan infrastruktur media, kesatuan itu kekal komited untuk mempertahankan kebebasan media dan hak wartawan.
Kedutaan itu menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dan pertubuhan kebebasan media untuk mengenakan sekatan terhadap pegawai Israel yang bertanggungjawab atas jenayah perang, melindungi wartawan di bawah undang-undang antarabangsa, menyokong siasatan bebas terhadap serangan ke atas petugas media dan menyediakan sumber kepada PJS.
“Mempertahankan hak wartawan Palestin dan memastikan suara mereka tidak dihalang, meskipun berdepan usaha tanpa henti oleh kuasa pendudukan untuk menyekat kebebasan bersuara, adalah perkara asas yang mustahak untuk menegakkan kebebasan media dan memelihara kebenaran,” katanya.
— BERNAMA















