Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Malaysia bakal berdepan cabaran kewangan kesihatan yang serius apabila kos rawatan dialisis dijangka mencecah sekurang-kurangnya RM4 bilion setahun menjelang 2030, kata Ahli Dewan Negara, Senator RA Lingeshwaran.

Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Negara, beliau menegaskan, pergantungan semata-mata kepada rawatan dialisis tidak mampan untuk jangka panjang dan boleh menjejaskan peruntukan kesihatan negara.

“Pada 2016, Malaysia membelanjakan RM1.65 bilion untuk pesakit penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) dengan 94 peratus atau RM1.55 bilion digunakan untuk dialisis.

“Hanya enam peratus sahaja diperuntukkan untuk pemindahan buah pinggang yang lebih kos efektif serta meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.

Menurut beliau, jumlah pesakit baharu yang memerlukan dialisis kini mencecah antara 9,000 hingga 10,000 orang setiap tahun.

Jelasnya, ditambah dengan inflasi perubatan sekitar lapan  hingga sembilan peratus setahun, kos rawatan dijangka melonjak lebih pantas daripada pertumbuhan bajet kesihatan negara.

Lingeshwaran memberi amaran, jika tren itu tidak dibendung, hampir 10 peratus daripada keseluruhan bajet tahunan Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan tertumpu kepada dialisis menjelang 2030.

Katanya, dana berbilion ringgit yang ‘terkunci’ pada kos dialisis boleh dialihkan kepada bidang kesihatan lain seperti pembangunan hospital baharu, latihan doktor pakar, penyelidikan teknologi perubatan tempatan serta program pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan reformasi pendermaan organ.

“Ini bukan hanya soal buah pinggang. Pemindahan organ melibatkan jantung, hati, paru-paru, pankreas dan kornea. Seorang penderma organ berpotensi menyelamatkan sehingga lapan nyawa, serta meningkatkan kualiti hidup lebih 50 orang melalui pendermaan tisu,” jelasnya.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pindaan terhadap Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130) bagi meluaskan akses kepada pemindahan organ.

Ia perlu dilihat dalam kerangka besar RMK-13 sama ada Malaysia mahu terus mengurus penyakit dengan cara yang mahal dan tidak mampan atau bersedia melaksanakan reformasi undang-undang demi masa depan kesihatan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast