KUALA LUMPUR – Empat syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) iaitu Prasarana Sdn. Bhd; Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp); Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) mencatatkan kerugian bagi tahun kewangan 2023.
Kementerian Kewangan berkata syarikat-syarikat tersebut terlibat dalam projek infrastruktur awam khususnya pengangkutan rel dan jambatan.
Bagaimanapun jelasnya, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah MOF Inc bukan berorientasikan keuntungan tetapi wujud untuk memenuhi mandat khusus kerajaan.
Ini termasuk menyediakan perkhidmatan dan menunaikan tanggungjawab sosial seperti pengangkutan awam, bekalan air, elektrik, pembetungan, serta memacu pembangunan ekonomi dengan menyokong industri baharu yang memerlukan pelaburan modal permulaan yang besar.
Syarikat-syarikat itu juga katanya, memacu kemajuan teknologi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), menarik pelabur tempatan dan asing ke sektor bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi dan teknologi maklumat, mengisi jurang pasaran yang tidak diceburi sektor swasta, serta mengekalkan kepentingan kerajaan dalam sektor strategik.
“Kerugian ini ditanggung bagi menyokong perkhidmatan awam, seperti mengekalkan kadar tambang yang berpatutan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 25 Ogos.
Ia bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH–Kepong) yang meminta penjelasan mengenai 20 GLC yang mencatatkan kerugian tertinggi dan langkah kerajaan untuk mengurangkan kerugian tersebut.
Sementara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd, dan SIRIM Bhd adalah antara syarikat MOF Inc yang mencatatkan keuntungan.
“Sebagai pemegang saham utama, MOF Inc sentiasa berusaha memperkukuh kawal selia terhadap prestasi kewangan dan tadbir urus syarikat-syarikat ini bagi memastikan operasi mereka sejajar dengan objektif penubuhan dan mandat kerajaan,” katanya.
Langkah yang diambil oleh MOF Inc termasuk mewajibkan pembentangan rancangan perniagaan tahunan, menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), serta melaporkan secara suku tahunan mengenai prestasi KPI dan laporan audit.
MOF Inc juga katanya, mengadakan mesyuarat Program Penambahbaikan Korporat (CIP) bagi syarikat yang gagal mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus sasaran KPI pada tahun semasa.
Mesyuarat itu bertujuan mengenal pasti isu serta membincangkan penambahbaikan struktur.
Syarikat yang gagal mencapai sasaran KPI perlu mengemukakan penjelasan terperinci dan pelan tindakan yang merangkumi langkah untuk meningkatkan prestasi serta kedudukan kewangan. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















