Suasana gerai penjaja di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JULAI 2025.

 

KUALA LUMPUR – Beberapa isu yang dibangkitkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembangunan tanah di Kuala Lumpur adalah di luar tanggungjawab dan bidang kuasa Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Sri Dr Zaliha Mustafa tidak memperincikan perkara yang dimaksudkannya.

Namun beliau telah mengarahkan JWP dan DBKL untuk meneliti syor-syor yang dikemukakan jawatankuasa tersebut

Jelasnya, perkara berkenaan perlu difahami berdasarkan aspek perundangan, dasar perancangan bandar serta garis panduan pembangunan yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan Madani akan sentiasa komited untuk memastikan setiap langkah pembangunan tanah di Kuala Lumpur dilaksanakan dengan lebih telus, teratur dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan rakyat serta kelestarian bandar raya,” katanya menerusi kenyataan media.

PAC dalam laporannya semalam mendapati, pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang sudah diwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL), tetapi diberi milik kepada pemaju, merupakan isu kritikal yang menjejaskan kualiti hidup penduduk serta fungsi ekologi bandar raya ini.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, terdapat kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula, terutama berkaitan kewajaran pembangunan seperti pemberimilikan tanah bagi projek berdensiti tinggi di kawasan paling lapang atau hijau.

Jelasnya, pelanggaran terhadap PTKL yang berterusan menjadi penyebab pembangunan tidak terkawal, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai pihak lain untuk turut memohon pembangunan.

Mas Ermieyati berkata, pengurusan pembangunan tanah di Kuala Lumpur membabitkan pelbagai agensi dan jawatankuasa serta terdapat proses penilaian tertentu bergantung kepada kaedah-kaedah tanah sedia ada.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast