Ganja yang dirampas PGA di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Padang Besar, Perlis semalam.

PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan penyeludupan selepas merampas 10 kilogram ganja bernilai RM300,000 menerusi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di sempadan Malaysia-Thailand di sini, semalam.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 1 PGA Ulu Kinta membuat rondaan di Kaki Bukit di sini, pada jam 12.45 tengah malam sebelum mengesan sebuah kereta Toyota Vios hitam dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan.

Bagaimanapun, jelasnya, pemandu kereta tersebut melarikan diri dan pemeriksaan lanjut di kawasan semak berhampiran menemui satu guni putih berisi 10 ketulan mampat disyaki ganja.

“Kita percaya ganja seberat 10 kg yang dianggarkan bernilai RM300,000 cuba diseludup masuk ke negara ini.

“Susulan itu, kesemua rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Shahrum berkata, sejak Januari hingga semalam Briged Utara PGA telah merampas ganja seberat 60.4 kilogram bernilai RM1.81 juta.

“Kita juga menahan empat lelaki warga asing di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dalam tempoh sama.

“Justeru Briged Utara PGA kini meningkatkan rondaan dan pemeriksaan termasuk di kawasan berbukit serta hutan.

“Kami konsisten dan tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast