Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan segera melaksanakan setiap keputusan mahkamah berkaitan Pegawai Kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris dengan segera.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, prosedur melaksanakan arahan mahkamah adalah satu proses serius kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk majistret, pasukan perubatan, keluarga dan polis.

“Apabila keputusan telah dibuat, macam juga kes adik Zara, polis kita akan menyusul. Ia melibatkan majistret, pasukan perubatan, keluarga, polis dan doktor.

“Semua pihak terlibat daripada proses mengeluarkan mayat, membawanya ke hospital sehinggalah pakar perubatan menjalankan tugas.

“Peranan polis adalah memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan. Macam kes adik Zara, sebaik saja arahan dikeluarkan oleh Peguam Negara, dalam beberapa jam sahaja polis memfasilitasi proses itu. Itu komitmen pasukan polis, jadi tidak perlu dipertikai.

“Secepat mungkin, itu tugasan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.

Sebelum ini, Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram.

Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor pada 29 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati tiada unsur penderaan dalam insiden berkenaan.

Namun, Ummu Haiman memfailkan permohonan usul notis supaya kubur anaknya digali semula dan dalam permohonan itu, beliau menamakan Mohamed Khaled dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden pertama dan kedua.

Mengenai laporan penahanan anak seorang bekas Perdana Menteri, Saifuddin berkata, beliau masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

“Setakat ini saya belum terima apa-apa maklumat lagi daripada JSJ. Saya akan tanya secepat mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast