KUALA LUMPUR – Laman media sosial malam ini hangat dengan perkongsian video memaparkan kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku di beberapa kawasan di Lembah Klang.
Menurut hantaran-hantaran tersebut, antara kawasan yang teruk dilanda ribut antaranya Meru, Klang; Kuala Selangor dan Shah Alam.
Masing-masing berkongsi rakaman yang menunjukkan deruman angin yang sangat kuat serta kawasan-kawasan yang mengalami pokok tumbang.
Kejadian tersebut turut menyebabkan premis perniagaan seperti pasar raya mengalami kerosakan termasuk pintu kaca pecah selain menjejaskan penjaja-penjaja yang sedang berniaga.

Dalam pada itu satu video tular memaparkan, sebuah kereta jenis Perodua Myvi rosak teruk akibat dihempap pokok susulan ribut berkenaan.
Kejadian yang dikatakan berlaku di Jalan Paip, Meru, Klang itu turut menyebabkan seorang wanita dan anaknya cedera ringan.
“Dugaan..dugaan. Kereta dihempap pokok akibat ribut. Anak dan isteri di dalam kereta, alhamdulillah (selamat) tetapi cedera sedikit,” kata seorang lelaki di dalam video berkenaan, dipercayai pemilik Myvi berkenaan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya, sehingga 2 pagi Selasa, 26 Ogos 2025. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
MetMalaysia keluar amaran ribut petir sehingga awal pagi esok
















