Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 OGOS 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR –Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah tiga kementerian yang menerima bilangan aduan terbanyak menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, ini kerana ketiga-tiga kementerian tersebut mempunyai banyak agensi yang menjadi tumpuan utama rakyat.

Ini dapat dilihat menerusi aduan-aduan yang diterima oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan agensi di bawah JPM manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) agensi di bawah KKR dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah KDN.

Tambahan pula katanya, aduan tertinggi yang dicatatkan menerusi SISPAA adalah dalam kategori penguatkuasaan diikuti kemudahan atau infrastruktur, ekspetasi pelanggan serta penyampaian perkhidmatan.

Katanya, sejak 2024, SISPAA mengkategorikan aduan kepada sembilan bidang termasuk penguatkuasaan, kemudahan atau infrastruktur awam, ekspektasi pelanggan, penyampaian perkhidmatan, tatakelakuan penjawat awam, prosedur kerja, kesaksamaan, pelaksanaan dasar dan undang-undang serta pelbagai aduan lain.

“Keberkesanan sistem ini menunjukkan lebih banyak aduan dapat disalurkan kepada agensi-agensi bertanggungjawab dan turut menjadi antara penyebab trend bilangan aduan yang meningkat dari tahun ke tahun,” katanya ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH–Kluang) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Dr Zaliha, berdasarkan rekod, jumlah aduan yang diterima melonjak tiga kali ganda daripada 3,862 aduan diterima pada 2018 kepada 12,958 aduan pada 2024.

Manakala sehingga 30 Jun 2025 sebanyak 6,978 aduan telah diterima menerusi SISPAA.

Menurut beliau, Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2022 telah mewajibkan semua kementerian menggunakan SISPAA sebagai medium utama bagi rakyat menyalurkan aduan, sekali gus membolehkan maklum balas direkod dan dipantau secara telus oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) serta agensi berkaitan.

Selain aduan, beliau turut memaklumkan SISPAA merekodkan tiga kategori bukan aduan iaitu cadangan, pertanyaan dan penghargaan yang menggambarkan persepsi positif rakyat terhadap perkhidmatan diberikan jabatan dan agensi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast