S. Karunanithy

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang pengarah jabatan kerajaan di utara tanah air kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa ketika bertugas sebagai pegawai di Seberang Prai Utara pada 2017.

Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 11 pagi hari ini di Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini ketika hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengesyorkan syarikat milik suaminya bagi pembekalan makanan dan minuman untuk sebuah program rasmi bernilai hampir RM4,000.

“Berdasarkan maklumat, suspek ketika itu telah menggunakan jawatan yang dipegang untuk mengesyorkan syarikat suaminya sendiri bagi urusan pembekalan.

“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas pegawai penyiasat selesai merakamkan keterangannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Khamis ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast