Pot hisap dadah di ladang kelapa sawit di Bera digempur. Gambar : IPD Bera

BERA – Empat individu diberkas polis dalam dua siri serbuan di sebuah pot menghisap dadah di ladang kelapa sawit Felda Bukit Puchong, Triang, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, turut dirampas dadah jenis heroin seberat 529.52 gram, syabu anggaran berat 13.34 gram serta wang tunai RM530.

Katanya, serbuan dijalankan menerusi Ops Hawk oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bermula jam 10 pagi.

“Saringan air kencing mendapati kesemua suspek berusia 39 tahun sehingga 44 tahun diuji positif dadah jenis Morphine.

“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah narkotik,” katanya dalam kenyataan.

Zulkiflee berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM14,706.40.

Dalam pada itu, pihak BSJN juga katanya mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1988 dengan menyita tiga kenderaan milik suspek dengan anggaran nilai RM13,000.00.

“Keempat-empat suspek ditangkap dan diremah selama tujuh hari sehingga 1 September depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast