KUALA LUMPUR – Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) akan diperluaskan ke 200 klinik kesihatan pada tahun ini dan 16 hospital pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, peluasan itu selaras dengan visi kerajaan iaitu ‘satu individu, satu rekod’ yang akan mempercepatkan proses pendigitalan sektor kesihatan negara.
“Setakat ini, sistem EMR telah diguna pakai di 22 daripada 150 hospital, 275 daripada 1,118 klinik kesihatan dan 78 daripada 682 klinik pergigian,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai status pelaksanaan EMR dan keberkesanannya dalam meningkatkan perkhidmatan kesihatan.
Dalam pada itu, Lukanisman memaklumkan pelaksanaan Clinical Management System (CCMS) berasaskan awan telah meningkatkan tahap pendigitalan di klinik kesihatan sebanyak 150 peratus dengan memanfaatkan infrastruktur EMR sedia ada.
Pengenalan CCMS juga berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit secara signifikan.
“Data menunjukkan 70 peratus pesakit dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh 30 minit, manakala baki 30 peratus lagi dilayan dalam masa 60 hingga 90 minit bergantung kepada tahap keseriusan kes dan beban kerja klinik.
“CCMS juga terbukti berkesan mempercepatkan proses pendaftaran, triage dan pengurusan pesakit sekali gus mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kepuasan pesakit,” katanya.
“Sistem ini membolehkan perkongsian data yang lebih baik antara fasiliti kesihatan bagi memastikan kesinambungan rawatan.
Selain itu, di samping meminimumkan risiko kehilangan rekod manual serta meningkatkan ketepatan dan keselamatan maklumat pesakit,” katanya.
















