Kobbie Mainoo. Foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2025.

LONDON – Ketiadaan Kobbie Mainoo dalam dua perlawanan pembukaan musim ini bersama Manchester United kini menimbulkan persoalan besar tentang masa depannya di bawah Ruben Amorim.

Pengendali Portugal itu berkata, Mainoo perlu bersaing tempat dengan kapten, Bruno Fernandes untuk tempat dalam pasukan, bukannya dengan Casemiro atau Manuel Ugarte.

Namun, dengan Fernandes jarang direhatkan, peluang untuk Mainoo yang berusia 20 tahun jadi semakin tipis.

Menurut Daily Mail, dua gergasi La Liga iaitu Real Madrid dan Atletico Madrid kini sedang memantau situasi Mainoo.
“Pinjaman semusim menjadi pilihan yang menarik, malah beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) juga berminat.
“Mainoo sendiri masih terbuka untuk kekal di United, tetapi keutamaannya adalah bola sepak pasukan utama.
“Dengan Liga Juara-Juara sebagai tarikan besar, dia  sedia pertimbangkan langkah keluar jika ia menjamin minit permainan.
“United dijangka membuat keputusan besar tentang masa depannya dalam masa 48 jam sebelum jendela perpindahan ditutup pada Isnin ini,” kata laporan itu.

Mainoo yang merupakan graduan akademi United itu masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya. Pemain akademi kelahiran Stockport itu menyertai United pada usia enam tahun dan membuat penampilan sulungnya ketika berusia 17 tahun pada 2023.

Mainoo yang memperoleh 10 kaps bersama England, telah bermain sebanyak 60 kali untuk skuad utama dan telah lama berunding mengenai kontrak baharu, tetapi tiada persetujuan dicapai. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast