Puncak Gunung Trusmadi yang menawarkan pemandangan awan karpet. Kredit foto Leon Kuan @sesat_in_malaysia

KUALA LUMPUR – Sebut nama Sabah dalam kalangan pendaki tegar, pasti terbayangkan Gunung Kinabalu iaitu gunung tertinggi di Malaysia dan ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

Gunung itu merupakan antara gunung yang paling digemari pendaki dari seluruh dunia dengan ketinggian 4,095 meter dari paras laut dan mengambil masa dua hari satu malam untuk sampai ke puncak.

Namun dua puncak tertinggi di negara ini selepas Gunung Kinabalu turut terletak di negeri di bawah bayu itu iaitu Gunung Trusmadi dan Gunung Sinsing.

“Kedua-dua gunung ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pendaki tempatan kerana cabaran laluan pendakiannya yang dikhabarkan lebih sukar berbanding Gunung Kinabalu.

“Uniknya, sepanjang denai pendakian, pendaki dapat melihat perubahan kanopi hutan yang menunjukkan keindahan alam semulajadi dan peluang untuk melihat pemandangan karpet awan putih di puncak,” kata Lembaga Pelancongan Sabah dalam satu kenyataan, di sini.

Pemandangan ir terjun Langganan di Poring, Ranau. Kredit foto Sabah Tourism Board/ Emilie Crosasso

Agensi kerajaan negeri itu menambah, Sabah yang tertetak di kawasan utara dan timur laut Borneo sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan yang serba boleh.

Katanya, keunikan negeri ini terletak kepada kepelbagaian produk pelancongannya yang merangkumi pengalaman bersama alam semula jadi, budaya dan warisan, keindahan laut dan aktiviti pengembaraan.

Pendek kata ujarnya, Sabah sangat versatil dan bertuah dengan keindahan dwi alamnya, dari puncak Gunung Kinabalu yang megah hingga ke dasar laut Sipadan yang mempesona.

“Keindahan biodiversiti Sabah juga memberi peluang kepada pencinta alam untuk menghargai kepelbagaian flora dan fauna.

“Kawasan pantai timur Sabah seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau merupakan destinasi terbaik untuk memerhati hidupan liar serta spesies endemik yang unik di rantau ini.

“Pengunjung berpeluang melihat secara lebih dekat hidupan liar ikonik seperti orang utan, monyet belanda, beruang madu, gajah borneo, burung enggang dan bermacam-macam lagi yang tentunya menggamit pengalaman yang mendebarkan dan menimbulkan perasaan cinta terhadap alam yang masih terpelihara,” katanya.

Melihat gelagat orang utan di Pusat Rehabilitasi Orang Utan di Sepilok,Sandakan
Kredit foto Sabah Tourism Board/ Emilie Crosasso

Lembaga Pelancongan Sabah memberitahu, jika negeri itu berada dalam senarai impian percutian Matta Fair yang bakal berlansung pada bulan depan akan menghimpunkan ramai ejen-ejen pelancongan dari Sabah yang menawarkan promosi pelancongan yang menarik.

“Orang ramai dijemput untuk mengunjungi Zon Sabah, di mana pelbagai aktiviti dan persembahan budaya akan dipertontonkan untuk dinikmati pengunjung

“Khas sempena MATTA Fair kali ini, Sabah telah terpilih sebagai ‘Destinasi Kegemaran Malaysia’ sekali gus mengukuhkan lagi alasan mengapa Sabah wajar dikunjungi.

“Rebutlah peluang cuti sekolah untuk membawa keluarga mengunjungi destinasi seperti Pusat Rehabilitasi Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo dan kawasan perlindungan seperti di Hutan Simpan Tabin dan Taman Bukit Tawau.

“Pelawat bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam tetapi juga mendapat manfaat ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada usaha konservasi hidupan liar dari renjer atau pemandu pelancongan tempatan yang terlatih.

“Jikalau syarikat produksi antarabangsa seperti National Geographic Channel dan Animal Planet berminat untuk merakam dokumentasi hidupan liar di Sabah, mengapa tidak kita sendiri berbangga akan kelebihan negara sendiri,” katanya di mana Pameran MATTA akan berlangsung pada 5 September depan selama dua hari di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). – MalaysuaGazette.

Perjalanan ke Tahas Tininting, Nabawan. Kredit foto Sabah Tourism Board

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast