PUTRAJAYA – UMNO tidak menghalang kepimpinan dan akar umbinya untuk menyatakan pandangan mahupun kritikan antara satu sama lain kerana parti itu mengamalkan semangat demokrasi sejak 1946.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, meskipun timbul rasa tidak puas hati terhadap mana-mana pimpinannya, namun ia tidak menghalang anggotanya untuk merujuk individu tertentu kepada Lembaga Disiplin.
“UMNO adalah parti yang lama sejak 1946, UMNO ada sistem, prosedurnya sendiri dan disiplin, saya tengok kalau sesiapa tak puas hati, dia boleh lapor ke Lembaga Disiplin parti.
“Tapi UMNO itu memang parti tradisi, dia apa-apa pun isu selalunya bawa ke perbincangan.
“Saya tak ada masalah siapa puas hati, tak puas hati dia boleh bawa dalam mesyuarat (Majlis Kerja Tertinggi),” katanya kepada pemberita di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.
Terdahulu Azalia yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) hadir pada Perhimpunan Bulanan BHEUU dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Jumaat lalu, media melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengambil tindakan ke atas Datuk Lokman Noor Adam.
Ini kerana Lokman didakwa membuat tuduhan tidak berasas kononnya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mahu menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, Azalina tidak menghalang tindakan sayap UMNO Bahagian Kapar itu sambil menyifatkan ia sebagai hak Pergerakan Pemuda.
“Pemuda, hak pemuda laa, UMNO mengamalkan demokrasi, nak kritik pun demokrasi, tak setuju pun demokrasi, sokong pun demokrasi.
“UMNO ini parti yang lama, memang dalam parti UMNO pelbagai karakter ada dalam kalangan ahli UMNO dan kepimpinan, tiada masalah,” katanya.
Menurut Azalina, sekiranya isu yang dibangkit itu merupakan perkara serius, ia boleh dibawa dan bincangkan dalam Biro Politik UMNO.
“Kalau betul-betul sesuatu yang serius itu terutama sekali dalam isu politik, Biro Politik,” katanya.
Azalina turut mengesahkan usul Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat MKT sebelum ini.
“Tak (bincang), mesyuarat MKT terakhir itu kita bincang banyak tentang perkara-perkara lain, pasal masa itu kita dalam saat akhir nak habiskan mesyuarat agung bahagian,” katanya.
Sebaliknya, kata Azalina, beliau sendiri baru pulang dari Sabah bagi mengatur dan menyusun kerja-kerja penerangan bagi calon-calon UMNO yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 di Sabah.
“Saya sebagai ketua penerangan di Sabah, kita melaksanakan buku panduan untuk pilihan raya negeri (PRN).
“Jadi kita nakkan lihat pada aspek penggunaan sosial media, banyak untuk calon-calon.
“Kita berharap calon-calon akan ada pasukan mereka sendiri, latihan demi latihan. Kita sudah melaksanakan banyak program di Sabah di aspek penerangan dalam masa dua tahun lepas sampai sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette
















