KUALA LUMPUR – MCA menyelar kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh bahawa RM100 mencukupi untuk menampung keperluan dua warga emas setiap bulan dengan menyifatkan ia langsung tidak realistik.
Malah kenyataan tersebut juga tidak sejajar dengan kehidupan sebenar yang dilalui oleh rakyat Malaysia biasa.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, dengan pengiraan mudah pun boleh membuktikan kenyataan Fuziah itu salah.
Mengambil kira dua kali makan sehari, pasangan warga emas memerlukan 120 hidangan sebulan.
Dengan jumlah RM100 sebulan, bermakna setiap warga emas perlu mencari setiap hidangan berharga 84 sen.
“Untuk mendapatkan makanan dengan 84 sen, yang memenuhi keperluan asas nutrisi, adalah tugas mustahil, apatah lagi menampung perbelanjaan harian lain,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Fuziah yang berkata nilai RM100 mungkin kecil bagi sesetengah orang, namun bagi warga emas yang hidup berpasangan, jumlah itu cukup untuk menampung keperluan sepanjang bulan.
Timbalan menteri itu berkata, realiti tersebut menggambarkan betapa bantuan yang disalurkan kerajaan memberi makna besar kepada golongan tertentu.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini telah mengumumkan bantuan tunai sekali sahaja berjumlah RM100 untuk rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Yee Fung mendakwa, sejak Kerajaan Perpaduan memegang jawatan, cukai baru dan meningkat, bersama-sama dengan pengembangan asas cukai, telah memberi tekanan kewangan yang lebih besar kepada rakyat.
Oleh itu, katanya, kenyataan bahawa nilai RM100 boleh menampung kehidupan dua orang warga emas selama sebulan adalah satu kenyataan yang menafikan pengalaman sebenar banyak isi rumah.
Kenyataan sebegini berisiko menggambarkan kerajaan seolah-olah memandang ringan terhadap kesusahan rakyat, di samping mengalihkan beban kos sara hidup kepada orang ramai.
Malah, kenyataan seumpama itu juga menimbulkan keraguan sama ada pembuat dasar benar-benar memahami cabaran yang dihadapi oleh isi rumah, ujar beliau lagi.
Tambahan pula, pada ketika rasionalisasi subsidi sedang dilaksanakan, pandangan yang terputus daripada realiti sebegini amat membimbangkan.
Tegas beliau, perbelanjaan hidup bulanan bukan terhad kepada makanan semata-mata, barangan lain seperti pencuci, sabun, ubat gigi, dan pakaian juga merupakan keperluan.
“Bagaimana pula dengan bil isi rumah seperti air dan elektrik? Untuk menyatakan RM100 boleh menampung semua keperluan ini mencerminkan penilaian yang sangat salah terhadap inflasi dan kos sara hidup.
“Jika benar RM100 mencukupi untuk kehidupan bulanan, maka tiada keperluan untuk subsidi,” kata beliau lagi.
Dalam konteks kenyataan Fuziah ini, Yee Fung berkata, implikasi ini amat membimbangkan kerana adakah kerajaan percaya RM100 boleh menyara seorang individu selama sebulan penuh.
Untuk itu, katanya, kerajaan mesti menyemak semula mekanisme kawalan harga dan langkah bantuan sosial dengan lebih teliti.
“RM100 tidak boleh dan tidak sepatutnya dianggap seolah-olah bernilai RM1,000. Tanpa dasar yang realistik dan berjiwa rakyat, penghapusan subsidi akan meletakkan beban terbesar ke atas golongan rentan dan mengancam kestabilan sosial Malaysia,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















