KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub telah menghantar surat peletakan jawatan beliau sebagai Presiden FAM, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025-2029 hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagi membincangkan hal tersebut.
Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat di Wisma FAM, telah meneliti hasrat Joehari itu dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan Presiden FAM itu bagi menghormati keputusan yang telah dibuat oleh beliau.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak beliau dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017 dan seterusnya Presiden pada 15 Februari lalu.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM juga mendoakan agar Datuk Joehari sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, diberkati dalam segala urusan dan terus dapat menyumbang kepada bola sepak negara,” katanya FAM dalam satu kenyataan di sini hari ini.
FAM berkata, menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan presiden kosong, timbalan presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga Kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.
”Kongres tersebut hendaklah memilih presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan.
”Justeru itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menamakan Datuk Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta hari ini berdasarkan apa yang termaktub dalam Statut FAM itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















