KUALA LUMPUR – Peniaga kecil seperti penjual goreng pisang, keropok lekor, gerai dan warung tidak akan dikenakan tindakan undang-undang walaupun menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sepanjang pelaksanaan Operasi Gasak (Ops Gasak).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, operasi yang bermula 1 Mei lalu itu hanya menumpukan kepada aktiviti ‘decanting’, iaitu pemindahan gas bersubsidi ke tong tidak bersubsidi untuk dijual pada harga lebih tinggi.
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah memperakukan bahawa sepanjang Ops Gasak dilaksanakan, tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap peniaga mikro dan kecil.
“Kita tidak usik peniaga goreng pisang, keropok lekor, gerai dan warung. Sebaliknya fokus kepada aktiviti decanting,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN–Pekan) berhubung statistik ketirisan subsidi LPG serta pelan mitigasi untuk peniaga kecil.
Menurut Fuziah, Ops Gasak setakat ini telah merekodkan nilai rampasan kira-kira RM7 juta.
Jemaah Menteri juga memutuskan peniaga mikro boleh mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa perlu memohon permit barang kawalan berjadual, sementara Ops Gasak dilaksanakan.
Langkah sementara itu akan berjalan sehingga hujung 2025 bagi membolehkan kerajaan mengumpul data sebelum keputusan dasar dibuat.
“KPDN kini mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai persatuan untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai operasi perniagaan kecil.
“Data ini penting, misalnya dobi layan diri mungkin perlukan tong gas lebih 40 kilogram setiap hari, maka mereka perlu memohon permit industri.
“Setakat ini, peraturan tersebut belum dikuatkuasakan kerana kita masih mengumpul data yang tepat,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















