Barisan Ahli Dewan Negeri Perikatan Nasional Negeri (PN) Pahang

KUANTAN – Cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang sedang dibentangkan di Parlimen adalah tidak wajar, justeru ia mesti ditolak kerana implikasinya tidak menguntungkan rakyat.

Ahli Dewan Negeri Perikatan Nasional Negeri (PN) Pahang dalam kenyataan hari ini berkata,  cadangan URA akan menyebabkan hak pemilik asal terjejas kerana di bawah undang-undang sedia ada, semua pemilik memberi persetujuan 100% sebelum sesuatu flat atau pangsapuri boleh dijual secara en-bloc.

Tetapi di bawah URA, persetujuan hanya 75 hingga 80% sudah memadai.

Ini bermakna sebahagian pemilik boleh dipaksa pindah keluar walaupun rumah mereka masih selamat diduduki dan mereka yang tidak bersetuju, hak terhadap kediaman sendiri akan tergadai.

“Autonomi dan peranan kerajaan tempatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah mempunyai undang-undang kecil, pelan struktur, pelan tempatan.

“Akta baharu ini boleh melemahkan peranan PBT, menjadikan mereka sekadar pelaksana tanpa suara, walaupun mereka lebih dekat dengan komuniti setempat,” katanya.

Tambahnya akta berkenaan tidak menggariskan kawalan harga unit kediaman gantian kerana URA hanya menyatakan pemilik asal mesti diberi pampasan “tidak kurang baik”  yang terbuka kepada tafsiran yang subjektif.

Akta ini perlu memberikan hak secara jelas kepada pemilik asal yang terlibat dalam pembangunan semula mendapat unit gantian tanpa sebarang bayaran tambahan atau bayaran tambahan minima.

Selain itu, peruntukan jelas yang mewajibkan kerajaan atau pemaju menyediakan kediaman sementara sepanjang tempoh projek berjalan.

Ujarnya, menerusi amalan sedia ada, penduduk terpaksa mencari kediaman sementara sendiri sementara menunggu projek disiapkan.

Tambahnya,  menerusi agenda perumahan mampu milik peruntukan khusus dalam URA yang mewajibkan pemaju menyediakan kediaman kos rendah dan mampu milik dalam projek baru.

“Pemaju bebas membina unit mewah tanpa mengutamakan keperluan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Lebih membimbangkan, pemilik asal mungkin terpaksa membuat bayaran tambahan untuk mendapatkan unit gantian kerana harga rumah baru yang lebih tinggi,” katanya.

Jelasnya, cadangan URA turut memberikan risiko kesan gentrifikasi kawasan lama yang asalnya didiami oleh golongan berpendapatan rendah atau sederhana, diambil alih dan dibangunkan menjadi kawasan mewah.

Akibatnya  harga rumah dan sewa melambung tinggi, penduduk berpendapatan rendah dan sederhana terusir, identiti tempatan bakal hilang, dan jurang kaya-miskin semakin melebar.

Selain itu PN Pahang berpendapat akta itu bakal memberi ancaman kepada pemilikan bumiputera dan sepatutnya diwujudkan untuk pemaju, bukan untuk rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast