Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 29 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya telah merangka beberapa pelan jangka panjang bagi menangani masalah kegagalan cerun dan kejadian sinkhole yang kerap berlaku di Jalan Gua Musang–Cameron Highlands (FT185).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laluan itu yang turut dikenali sebagai Jalan Simpang Pulai–Blue Valley merupakan salah satu daripada 13 cerun kritikal yang dipantau rapat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pelaksanaan projek ini akan memastikan kestabilan cerun, mengurangkan risiko tanah runtuh dan sinkhole (mendapan) serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Selain kerja pemulihan, kementerian turut melaksanakan langkah pencegahan di cerun berisiko tinggi di samping penyelenggaraan berkala, terutama pada musim tengkujuh,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengenai perancangan kerajaan bagi menguruskan kejadian runtuhan dan sinkhole berulang serta sama ada pelurusan jalan dipertimbangkan.

Menurut Nanta, beberapa projek pembaikan cerun utama telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk kerja pemulihan cerun bernilai RM122 juta di Seksyen 44.1 FT185 di Kinta, Perak (Rolling Plan 1); projek perangkap aliran debris dan saliran di Seksyen 61 Gua Musang, Kelantan bernilai RM10.4 juta (Rolling Plan 2); serta kerja penstabilan cerun di Seksyen 42.70 Kinta, Perak dengan peruntukan RM19.9 juta (Rolling Plan 5).

Mengulas insiden mendapan di Seksyen 78.6 FT185, beliau berkata, siasatan JKR mendapati sistem saliran tersumbat dan culvert rosak akibat resapan air tidak terkawal serta aktiviti pertanian berhampiran menjadi punca berlakunya runtuhan.

Antara tahun 2023 hingga 2025, sebanyak 18 arahan kerja bernilai lebih RM29.1 juta dikeluarkan bagi kerja-kerja pembaikan cerun di laluan Gua Musang selain RM8.01 juta diperuntukkan pada 2023 untuk kerja pencegahan.

Mengenai cadangan pembinaan terowong atau pelurusan jalan, beliau menjelaskan, langkah itu memerlukan kajian geoteknikal terperinci termasuk analisis batuan serta sistem saliran bawah tanah.

“Walaupun pembinaan terowong sedang dikaji, kementerian tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakannya di FT185 buat masa ini,” ujarnya.

Sebaliknya, jelas beliau, kementerian kini memanfaatkan teknologi moden bagi tujuan pemantauan.

“Teknologi ini termasuk penggunaan dron untuk pemetaan topografi, analitik data, pemprosesan imej dan sistem pemantauan berasaskan sensor.

“Kecerdasan buatan (AI) pula akan membantu JKR menjejak keadaan cerun dan jalan secara masa nyata,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast