KUALA LUMPUR- Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Tahun Ketiga 2025 menunjukkan sedikit penyederhanaan dalam sentimen perniagaan dengan petunjuk keyakinan sebanyak +0.1 peratus.

Statistik ini adalah jangkaan prestasi perniagaan bagi tiga dan enam bulan yang akan datang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menyederhana pada suku ketiga 2025, disokong oleh petunjuk keyakinan positif +0.1 peratus, yang mencerminkan optimisme berterusan daripada +2.0 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam kalangan semua sektor, sektor perkhidmatan mengekalkan sentimen positif pada suku ketiga 2025 dengan mencatatkan petunjuk keyakinan +1.5 peratus berbanding +6.9 peratus pada suku sebelumnya, menunjukkan keyakinan yang stabil meskipun menyederhana.

Sektor pembinaan merekodkan petunjuk keyakinan -2.0 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding +4.6 peratus pada suku sebelumnya, menggambarkan peralihan kepada jangkaan yang lebih berhati-hati.

Sementara itu, sektor industri terus optimis dengan peningkatan petunjuk keyakinan +2.2 peratus berbanding +1.9 peratus pada suku kedua 2025.

Bagi sektor perdagangan borong dan runcit, petunjuk keyakinan mencatatkan -7.3 peratus pada suku ketiga 2025, sedikit lebih rendah berbanding -6.7 peratus pada suku kedua 2025, mencerminkan sentimen berwaspada yang berterusan dalam sektor tersebut.

Bagaimanapun, sub-sektor perdagangan runcit kembali mencatatkan trajektori positif dengan petunjuk keyakinan+1.9 peratus berbanding−8.4 peratus pada suku sebelumnya.

Pada suku ketiga 2025, petunjuk keyakinan perniagaan peringkat negeri menyerlahkan daya tahan yang menggalakkan, dengan beberapa negeri menunjukkan peningkatan ketara walaupun yang lain berhadapan dengan cabaran jangka pendek.

Sentimen optimis dilihat di Johor (+0.5%), Negeri Sembilan (+6.5%), Perlis (+6.6%), Selangor (+5.0%), Terengganu (+17.1%), Sabah (+8.2%), Sarawak (+2.4%), Kuala Lumpur (+1.6%) dan Putrajaya (+3.1%). Sementara itu, Kedah (-1.6%), Kelantan (-3.9%), Melaka (-8.4%), Pahang (-1.2%), Pulau Pinang (-14.3%), Perak (-11.1%) dan Labuan (-4.6%) mencatatkan bacaan negatif, menggambarkan tekanan yang semakin meningkat dalam suasana perniagaan mereka.

Bagi tempoh Julai hingga Disember 2025, prospek perniagaan keseluruhan kekal positif dengan mencatatkan imbangan bersih +9.9 peratus berbanding +10.9 peratus pada separuh tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menunjukkan daya ketahanan yang stabil dengan peningkatan marginal kepada imbangan bersih +19.5 peratus berbanding +18.3 peratus.

Prospek sektor pembinaan turut bertambah baik dengan imbangan bersih +14.5 peratus berbanding +13.1 peratus. Seiring dengan itu, sektor perindustrian menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +11.1 peratus berbanding +12.0 peratus pada tempoh sebelumnya.

Sementara itu, sektor perdagangan borong dan Runcit merekodkan imbangan bersih -10.5 peratus berbanding -4.8 peratus pada tempoh sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast