Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi ISIS, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah bergambar pada Persidangan Meja Bulat mengenai Kerjasama Serantau Asia Pasifik di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berhasrat untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, matlamat sidang kemuncak itu bagi mempercepatkan pelaksanaan dan menunjukkan Asia masih boleh memimpin secara terbuka.

“RCEP kekal sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia meliputi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global.

“Tetapi RCEP tidak boleh kekal sebagai teks undang-undang di atas kertas dan ia mesti diperbaharui dengan tenaga politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Meja Bulat Kuala Lumpur Mengenai Kerjasama Serantau Asia Pasifik di Forum BOAO Untuk Asia, di sini, hari ini.

Anwar menambah, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia juga berazam untuk mengekalkan pemusatan itu bukan sebagai retorik semata-mata tetapi sebagai satu amalan.

Namun tegas beliau, ia memerlukan kerjasama serantau yang mendalam.

“Tahun ini, ASEAN dan China memuktamadkan rundingan bagi Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang akan dibentangkan kepada pemimpin pada Oktober ini.

“Ia kini merangkumi ekonomi digital, pertumbuhan hijau, ketersambungan rantaian bekalan, piawaian teknikal dan sokongan untuk perusahaan kecil dan sederhana.

“Ia mencerminkan realiti baharu zaman ini bahawa kemakmuran hari ini dibentuk bukan sahaja oleh perdagangan yang adil tetapi juga oleh aliran data, platform digital dan peralihan tenaga mampan.

“Bagi ASEAN, perjanjian perdagangan bebas (FTA) ini menunjukkan bahawa penglibatan dengan China boleh berasaskan peraturan, inklusif dan berorientasikan masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast