KUALA LUMPUR – Peraturan pemakaian ahli Parlimen wanita kembali menjadi perhatian apabila isu keperluan memakai kolar dibangkitkan dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Kulai (PH), Teo Nie Ching berkata, Peraturan Mesyuarat hanya menyebut ahli Parlimen wanita perlu memakai pakaian kebangsaan, sarung dengan blouse berlengan panjang atau skirt sekurang-kurangnya paras lutut dengan blouse berlengan panjang, namun tidak menyatakan kewajipan memakai kolar.
“Standing Order hanya menyebut blouse, tidak ada collar atau tidak sepatutnya jadi isu. Tetapi ada ahli Parlimen lelaki yang bangkitkan perkara ini dan jadikan ia isu kecil sedangkan banyak perkara lebih penting boleh dibahaskan,” katanya.
Beliau yang hadir dengan blouse v-neck turut meminta panduan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar perkara remeh seperti itu tidak dijadikan bahan perdebatan.
“Saya harap Tan Sri Speaker keluarkan petua. Kalau memang tidak ada kewajipan memakai kolar, janganlah ada ahli Parlimen lelaki cuba mengajar wanita bagaimana kami patut berpakaian,” ujarnya.
Sementara itu, Johari Abdul menegaskan isu berkenaan sepatutnya dibangkitkan serta-merta, bukan selepas beberapa hari.
“Kalau nak bawa Standing Order, jangan tunggu dua atau tiga hari selepas kejadian. Sepatutnya dibangkitkan serta-merta.
“Namun saya ambil perhatian kerana ia pandangan pejuang wanita yang merasakan mereka, saya tak mahu sebut buli, tapi dilihat bahawa ada pihak yang tidak merasakan memberikan sesuatu yang lebih berhormatan kepada mereka.
“Benda kecil seperti ini, selagi tidak bercanggah dengan Standing Order, tidak patut dijadikan isu,” katanya.
Sebelum ini, ketika penggulungan Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 Isnin lalu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid sempat mempersoalkan pemakaian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ketika itu, Azalina hadir dengan kemeja ‘round neck’ yang menimbulkan gurauan dan mencetuskan reaksi lucu dalam kalangan ahli Dewan. – MalaysiaGazette
















