KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran katrij cecair rokok elektronik (vape) mengandungi dadah jenis MDMA bernilai hampir RM1.5 juta di sekitar Lembah Klang pada 22 Ogos lalu dengan penahanan sembilan individu.
Modus operandi sindiket yang berselindung di sebalik kediaman berpagar dan berpengawal untuk memproses serta menyimpan dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sebanyak tujuh serbuan sekitar ibu negara telah dijalankan hasil maklumat dan risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kuala Lumpur.
“Dalam serbuan pertama di sebuah residensi di Jalan Kuchai Jaya, jam 7.45 malam telah menahan seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 30 dan 29 tahun di hadapan lif lalu memandu arah ke rumah didiami mereka.
“Hasil pemeriksaan, kita (polis) menemukan beberapa bungkusan dan kotak berisi dadah jenis MDMA serta katrij cecair mengandungi dadah sama.
“Kemudian jam 10.45 malam, wanita warga Thailand berusia 29 tahun ditahan sebuah rumah di Taman Pertama dan merampas satu beg kanvas mengandungi bungkusan katrij vape berisi cecair MDMA,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, pasukannya turut menyerbu beberapa lagi kediaman di Kula Lumpur dan menahan enam individu tempatan disyaki ahli sindiket sama.
“Kita turut merampas dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 3,587 gram; katrij cecair vape mengandungi MDMA sebanyak 7,600 mililiter (ml) dan botol cecair mdma dianggarkan 39,000 ml dengan nilai semua rampasan itu berjumlah RM1.49 juta.
“Siasatan lanjut mendapati, kesemua suspek mempunyai peranan masing-masing sebagai pengurus, penyelia dan runner (penghantar) dan sindiket dipercayai bergerak aktif sejak hujung tahun lalu serta mengedarkan dadah di sekitar Lembah Klang.
“Namun hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dan kita masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti dalang dan ahli sindiket lain,” jelasnya.

Tambah beliau, kesemua suspek masih direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan untuk diedarkan kepada pelanggan tetap termasuk pelajar sekolah dan kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan lebih 35,000 orang sekiranya terlepas ke pasaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















