Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 (RUUPK) yang merupakan langkah penting dalam usaha kerajaan menambah ketelusan dan kawalan terhadap proses perolehan awam diluluskan di Dewan Rakyat selepas melalui undian belah bahagian.

Seramai 125 Ahli Parlimen bersetuju manakala 63 menolak, seorang tidak mengundi dan 32 tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menjelaskan, permintaan blok pembangkang supaya RUU iitu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) tidak timbul kerana tiada permohonan rasmi pernah dibuat ketika bacaan kali pertama.

“Sekiranya JPKP mahu terlibat, pengerusinya boleh mengemukakan permintaan kepada kementerian selepas bacaan pertama. Namun selepas saya semak, tiada permintaan dikemukakan,” katanya.

Sepanjang perbahasan, pembangkang mendakwa RUU itu dibentangkan secara tergesa-gesa dan memberi kuasa besar kepada Menteri Kewangan namun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menafikannya dengan menyatakan draf berkenaan digubal hasil proses panjang sejak 2018.

RUU berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kewangan menetapkan kaedah perolehan selain tender terbuka, namun Amir menegaskan, ia tetap tertakluk kepada syarat dan semakan ketat.

Mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal, RUU tersebut digubal untuk memastikan pertanggungjawaban penuh dalam penggunaan dana kerajaan, selain menoktahkan rasuah serta ketirisan wang rakyat.

Ia juga membolehkan tindakan punitif diambil terhadap mana-mana pihak, sama ada penjawat awam, bekas menteri mahupun kontraktor.

Antara teras penting RUUPK 2025 ialah penubuhan Panel Kajian Semula di setiap agensi pelaksana serta Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan di bawah Kementerian Kewangan sebagai badan berkecuali yang berfungsi memastikan proses perolehan lebih adil dan telus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast