The minor earthquake that shook Segamat on 24 August 2025 was triggered by the reactivation of a fault line connected to the Mersing Fault system.

KUALA LUMPUR – Gempa bumi yang melanda Segamat, Johor berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral, iaitu blok kerak bumi di utara sesar, bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar, bergerak ke arah timur.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia berkata, Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil, namun menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.

Tekanan ini berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar di Semenanjung Malaysia dan boleh menghasilkan gempa bumi bersaiz kecil hingga sederhana.

Menurutnya, semakan awal peta seismotektonik menunjukkan pusat gempa yang berlaku di Segamat semalam berada berhampiran lanjutan Sesar Mersing yang berorientasi barat-barat laut hingga timur tenggara.

Kejadian ini menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan.

Kedalaman gempa cetek (±10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam.

Menurutnya, sejarah kejadian gempa bumi di Semenanjung Malaysia turut merekodkan beberapa peristiwa terdahulu, antaranya di Bukit Tinggi, Pahang; Kenyir, Terengganu; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; serta Manjung–Temenggor, Perak.

Johor juga pernah mengalami gegaran kecil pada tahun 2021 dan 2023 yang berpunca daripada aktiviti seismik di luar pesisir Sumatera.

“Kesemua insiden, termasuk gempa di Segamat ini, menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa dan menghasilkan pergerakkan bumi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Segamat sekali lagi mengalami gempa bumi dengan magnitud 3.2 Richter pada jam 8.59 pagi. Pusat gempa dianggarkan terletak kira-kira 18 kilometer di selatan daerah itu.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menambah, pemantauan seismik yang berterusan, pemetaan semula sesar, serta pembangunan sistem amaran awal perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan melindungi infrastruktur sedia ada.

Jabatan itu bersama Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memperkasakan pemantauan dan analisis saintifik kawasan yang dijangka menerima ancaman risiko gempa bumi yang berlaku sama ada berpusat dalam negara atau daripada negara jiran.

Hasil pemantauan dan analisis ini, katanya, akan diterjemahkan sebagai langkah kesiapsiagaan yang proaktif demi keselamatan rakyat, perlindungan infrastruktur dan pembangunan komuniti khususnya kawasan-kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast