Sazalee.

BAYAN LEPAS – Seorang guru yang cedera akibat dikelar suaminya di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, semalam dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa berusia 28 tahun dibenarkan pulang selepas keadaannya stabil.

“Bagaimanapun, suspek yang merupakan suami mangsa masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya hari ini.

Tambah Sazalee, pihak polis masih belum mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak bagi menentukan punca sebenar kejadian.

“Kita akan rakam keterangan daripada mangsa berhubung kejadian berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang wanita nyaris maut selepas ditikam suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast