KUANTAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang menumpaskan aktiviti eksploitasi pembantu rumah harian menerusi serbuan di sebuah premis kediaman di Temerloh pada 24 Ogos lepas.
Dalam serbuan itu seramai 17 wanita warga Indonesia diselamatkan.
Pengarah JIM Pahang, Nursafariza Ihsan, kesemua wanita berkenaan berusia antara 23 tahun hingga 50 tahun dan memiliki pas lawatan sosial (PLS) yang telah tamat tempoh.
“Turut ditahan dalam operasi itu ialah masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan dipercayai sebagai pemilik agensi dan penjaga kepada semua mangsa terbabit.
“Modus operandi suspek ialah menggunakan wanita warganegara asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah yang telah ditentukan oleh suspek dengan bayaran antara RM120 hingga RM150 sehari,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Nursafariza, pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu akan menghubungi agensi terbabit dengan menetapkan tarikh dan waktu bekerja yang akan diatur termasuk menghantar serta mengambil mereka setelah selesai bekerja.
Katanya, aktiviti berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak lebih dua tahun dan mengaut keuntungan melebihi RM500,000 setahun hasil bayaran mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.
“Kesemua mangsa tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada suspek dan kebebasan mereka turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan penggunaan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga di negara asal.
“Mangsa diwajibkan bekerja dan membayar sejumlah bayaran tinggi ditetapkan agensi, malah diarahkan bekerja separuh masa sebagai pembantu rumah bersama beberapa majikan yang berbeza setiap hari.
“Kadar bayaran harian diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan mereka,” katanya.

Beliau berkata, JIM Pahang turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai dijadikan kenderaan untuk membawa mangsa, wang tunai melebihi RM10,000, pelbagai dokumen berkaitan dan 87 naskhah pasport Indonesia serta 52 unit telefon bimbit milik mangsa yang disimpan dan dikawal oleh penjaga premis.
Menurut Nursafariza, operasi yang turut disertai Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat JIM Putrajaya itu menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“JIM juga telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 l (Pindaan 2010), Akta migresen 1959/63 (Pindaan 2002), Akta Pasport 1966 dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
“Buat masa ini mangsa ditempatkan di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum tindakan selanjutnya, manakala warga tempatan pemilik agensi pekerjaan dan penjaga ditahan reman untuk siasatan,” tambahnya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti serupa atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut.
Tambahnya, JIM akan mengambil tindakan drastik untuk menutup ruang dan peluang berlakunya aktiviti yang melanggar undang-undang negara dan pasti akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat kedaulatan serta keselamatan rakyat dan negara. – MalaysiaGazette
















