KUANTAN – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Muhammad Kamil Ibrahim mempersoalkan kenapa sehingga kini tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkaitan isu pekebun haram durian Musang King di negeri ini.
Susulan itu beliau mempersoal apakah laporan polis yang dibuat tidak bernilai, atau wujudnya double standard dalam pelaksanaan undang-undang?
Katanya, rakyat menuntut keadilan yang sama rata, bukan pilih kasih yang akhirnya menghakis keyakinan terhadap integriti institusi penguatkuasaan negara.
”Chow Hui yang secara terang-terangan bersikap biadab serta mengganggu penguatkuasa dalam isu penerokaan tanah haram Musang King? Mengapa sehingga hari ini tiada sebarang pendakwaan dikenakan terhadap beliau?
“Pahang sudah tegas lindungi kepentingan rakyat, tapi Chow Yu Hui masih kebal undang-undang.
”Bagaimanapun tahniah kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri Pahang atas keberanian serta ketegasan melaksanakan Ops Sekat Fasa 4, yang sekali lagi membuktikan kerajaan negeri benar-benar serius, konsisten dan tidak berkompromi dalam membanteras pencerobohan tanah haram,” katanya.
Ujarnya, tindakan sekatan kepada lebih 25,000 ekar durian haram, ratusan individu ditahan, malah ada yang dihukum penjara serta dikenakan denda besar adalah wajar.
Ia sekaligus membeeri mesej jelas bahawa tanah negeri bukan hak peribadi, sebaliknya khazanah rakyat yang wajib dipertahankan bersama.
”Namun dalam ketegasan yang ditunjukkan ini, timbul persoalan yang menuntut jawapan, bagaimana pula dengan laporan polis yang telah dibuat terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
”Sedangkan tindakan beliau jelas lebih serius, malah lebih mencetus kebimbangan awam berbanding apa yang sedang dihadapi oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Dr. Akmal Saleh.
”Kalau Akmal, seorang wakil rakyat, pihak berkuasa heret ke mahkamah atas alasan tertentu, mengapa tidak boleh dikenakan tindakan yang sama, malah sepatutnya lebih tegas terhadap Chow Yu Hui?” tambahnya.
Kamil mahu pihak berkuasa segera bertindak terhadap Chow Yu Hui dan mengheret beliau ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette
















