KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan pembangkang tidak pernah menolak cadangan kerajaan berkaitan dasar perumahan mampu milik, sebaliknya hanya meminta ia ditangguhkan untuk perbincangan lebih mendalam.
Ahli Parlimen Larut itu mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH–Tambun) pada Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pagi ini dengan menekankan pendirian pembangkang bahawa mereka bersedia menyokong cadangan kerajaan sekiranya perincian dapat diperhalusi.
“Dalam isu perumahan mampu milik, saya bersetuju dengan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa tujuannya ialah untuk kepentingan rakyat, supaya semua rakyat berpeluang memiliki rumah. Syabas, tahniah.
“Tetapi saya ingin perbetulkan, apabila dikatakan kami di sebelah sini menolak rang undang-undang yang dibentangkan, itu tidak benar. Kami bukan menolak cuma minta ia ditangguhkan supaya dapat dibincangkan semula,” katanya.
Hamzah berkata, pembangkang tidak pernah menggunakan bahasa maki hamun dalam perbahasan, sebaliknya mahu memastikan setiap dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut membangkitkan beberapa isu teknikal yang perlu diteliti, antaranya soal ‘threshold’ atau ambang tempoh pinjaman yang disifatkan tidak realistik.
“Rakyat ada yang membuat pinjaman sehingga 35 tahun. Kalau undang-undang membenarkan pengambilan semula selepas 30 tahun, ia akan menimbulkan masalah besar kepada pemilik rumah. Itu perkara yang mesti diperhalusi,” jelasnya yang merujuk kepada Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA).
RUU URA dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat petang ini oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif.
Sementara itu, Hamzah menambah, kelewatan projek perumahan oleh pemaju juga perlu diberi perhatian kerana ia memberi kesan kepada pembeli yang sudah menanggung komitmen kewangan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi jurang sosial dan ekonomi dalam dasar perumahan, merujuk pengalaman lampau ketika Anwar masih dalam kerajaan terdahulu.
“Kalau benar kita mahu rakyat kampung mampu duduk di bandar, maka jangan sampai berlaku ketidakadilan atau ‘social economic disparities’,” ujarnya.
Menurut Hamzah, pembangkang terbuka menyokong cadangan kerajaan jika perbincangan lebih mendalam dapat dilakukan.
“Persoalan saya, mengapa tidak ditangguhkan dulu? Kita duduk bincang semula. Insya-Allah, selepas perincian dibuat, kami akan sokong,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















