Mohd Sahir Mohamed Yusof (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar daripada kamar bicara Mahkamah Sesyen 2 selepas mengaku tidak bersalah terima suapan

KUANTAN – Seorang Penolong Pengurus Kontrak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini kerana menerima suapan berbentuk sebuah telefon bimbit bernilai RM3,999.00 pada 23 Oktober 2018.

Tertuduh, Mohd Sahir Mohamed Yusof, 46 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima suapan iaitu satu unit telefon bimbit jenis Iphone 8 Plus itu daripada Pengurus Syarikat Wawasan Vista Engineering Sdn Bhd, Chong Wei Peng dan gagal melaporkan pemberian suapan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) Akta yang sama.

Jika sabit bersalah, dia boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Suriawani Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili Peguam, Datuk Mohd Najid Husain.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar selain syarat tambahan pasport perjalanan antarabangsa milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan mengacau ganggu saksi dan mana-mana pihak terbabit dengan kes sehingga perbicaraan selesai. Kes akan disebut semula pada 30 September depan – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast