Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Mohd Razlan Rafii bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 06 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk diadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bukannya termasuk dalam agenda Kerajaan Perpaduan, demikian menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Beliau berkata demikian selepas terdapat beberapa Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan yang membangkitkan isu berkenaan.

“Perlu difahami bahawa kerajaan hari ini terbentuk bukan atas majoriti PH semata-mata.

“Jika PH menang majoriti seperti 2018, bolehlah ahli-ahli Parlimen PH melaksanakan manifesto mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pada masa ini, Pilihan Raya PBT bukanlah perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Pelaksanaan kuota Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sendiri masih tidak berjaya dan mencapai objektif; pekeliling yang dirangka secara bertulis pun tidak dipatuhi dengan sebaiknya.

“Adalah lebih baik kerajaan fokus kepada memperkasakan usaha kebajikan serta pembangunan sosial rakyat daripada membangkitkan perkara yang melangit tetapi belum tentu membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kuala Lumpur menggesa pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan bagi melaksanakan reformasi tadbir urus bandar raya Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili BBC berkata, pilihan raya itu selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) agar sistem Ahli Majlis dilantik seperti yang diamalkan di negeri-negeri lain.

Selain itu, Nik Nazmi bersetuju agar cadangan mengembalikan jawatan Pengerusi Wilayah Persekutuan kepada menteri yang bertanggungjawab.

Jelasnya pertubahan ini akan dapat mengurangkan tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur memegang kuasa yang jauh lebih besar berbanding PBT negeri lain.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, pelaksanaan cadangan itu selaras dengan manifesto PH yang berhasrat memperkukuh demokrasi dalam tadbir urus Kuala Lumpur.

Terdahulu PAC mendedahkan laporan yang mengesan beberapa percanggahan daripada sembilan prosiding berkaitan penjualan dan pembangunan tanah oleh DBKL, termasuk pelanggaran yang mengakibatkan pembangunan tidak terkawal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast