KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan kerajaan bertujuan melindungi kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu di bandar, agar mereka tidak terus hidup merempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengambil alihan sesebuah bangunan hanya dilakukan jika 80 peratus penduduk setuju dan pembangunan perlu diteruskan.
“Tetapi kita juga jamin hak baki 20 peratus dengan pampasan sewajarnya. Apa logiknya kalau kita dengar 20 peratus lalu menolak suara 80 peratus yang mahu perubahan?” katanya.
Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN–Larut) pada Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut berkongsi pengalamannya dalam projek perumahan di Tanjung Tokong, Pulau Pinang, apabila lebih 200 keluarga Melayu hidup dalam keadaan daif di tanah haram kerana bantahan 13 keluarga yang enggan berpindah.
“Berpuluh tahun mereka terbiar kerana projek tergendala. Akhirnya, saya buat keputusan memindahkan 13 keluarga itu kerana saya tidak sanggup lihat orang Melayu terus merempat. Hasilnya, lihatlah pembangunan Tanjung Tokong hari ini,” jelasnya.
Mengulas isu ketahanan struktur kediaman, Anwar berkata, walaupun terdapat pandangan bahawa rumah mampu bertahan sehingga 70 tahun, hakikatnya kebanyakan yang berusia antara 40 hingga 60 tahun sudah tidak sesuai didiami.
“Kalau mahu selesaikan masalah sosial dan ekonomi, kita kena berani membuat pindaan. Undang-undang ini bukan sempurna tetapi asasnya ialah memastikan rakyat mendapat kediaman lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, Anwar memberi jaminan kerajaan tidak menolak penambahbaikan termasuk daripada pihak pembangkang.
“Kalau ada cadangan baik, kita terima. Kalau perlu, kita tambah baik lagi. Tetapi jangan tuduh kerajaan ini mahu menindas Melayu atau menjadi boneka. Itu tidak benar.
“Saya tekankan, tugas saya ialah mempertahankan kepentingan Melayu dan bumiputera, majoriti rakyat negara ini, supaya mereka tidak terus hidup dalam keadaan daif,” katanya.
Beliau berkata, pindaan undang-undang itu tidak wajar dijadikan polemik perkauman, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka membina bandar lebih seimbang.
“Kita tidak boleh biarkan bandar pesat membangun dengan menara tinggi tetapi rakyat, majoritinya Melayu duduk di rumah usang dan merempat. Itu sebabnya undang-undang ini perlu dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan Tanah Rizab Melayu tidak akan terjejas dan pampasan diberikan adalah adil berdasarkan harga pasaran terkini. – MalaysiaGazette
















