MUAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berhasrat menawan tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, barisan kepimpinan baharu negeri mahu merampas kerusi Parlimen di Muar, Pagoh dan Mersing.
“Kita melihat kerusi Parlimen Muar berpotensi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan kita fokus menawan kerusi ini.
“Muar pernah menjadi kerusi yang kita perjuangkan dan pada PRU-16 nanti, Keadilan Johor bertekad merampas semula kerusi ini.
“Kami yakin, rakyat bersama kita untuk membawa perubahan yang lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang bermula di Muar! di sini.
Hampir 1,000 bendera tangan diagihkan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.
Turur hadir Timbalan Pengerusi MPN PKR Johor, Md Ysahrudin Kusni dan Ketua Penerangan PKR Johor, Fakharuddin Moslim.
Zaliha berkata, sebelum ini PKR seakan tidak berpeluang apabila kerusi Parlimen Muar ditandingi UMNO dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pula, PKR berhasrat bertanding kerusi DUN Maharani dalam Parlimen Muar, DUN Endau (Parlimen Mersing), DUN Bukit Kepong (Parlimen Pagoh) dan Puteri Wangsa (Parlimen Tebrau).
Beliau berkata, ketika ini PKR mempunyai 14 kerusi Parlimen di negeri ini sekali gus menjadi penyumbang kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan bersama-sama komponen Pakatan Harapan (PH) lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, keadaan itu memberikan PKR keyakinan untuk menawan kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-16 atau PRN Johor.
Jelasnya, PKR Johor akan berbincang mengenai persediaan menawan kerusi-kerusi yang disasarkan itu termasuk melihat kekuatan parti termasuk di peringkat akar umbi.
Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang mengingatkan PRN Sabah akan berlangsung tidak lama lagi, diikuti PRN Melaka dan Johor pada bila-bila masa sementara PRU-16 sudah semakin dekat.
Sementara itu, Fakharuddin berkata, kempen berkenaan adalah program pertama parti menerusi kepimpinan baharu dan pemilihan di daerah ini memberi isyarat PKR akan kembali bertanding di Parlimen Muar.- MalaysiaGazette
















