Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

 

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Bandar 2025 yang dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat petang ini ditangguhkan pada sidang akan datang pada bulan Oktober.

Difahamkan MalaysiaGazette, penangguhan ini selepas menerima bantahan hebat daripada pembangkang dan segelintir ahli Parlimen kerajaan sendiri.

Menurut takwim Dewan Rakyat, mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025 akan bermula 6 Oktober dan berakhir pada 4 Disember.

MalaysiaGazette diberitahu, RUU ini tetap dibentang untuk bacaan kedua hari ini, namun perbahasan dan pengundian akan dilakukan pada sidang akan datang.

Tengah hari tadi, Barisan Nasional (BN) melalui Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan30 ahli Parlimen parti itu sepakat menolak RUU berkenaan dibahas segera.

Beliau menegaskan, undang-undang baharu itu perlu diteliti semula dengan memberi ruang kepada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk penduduk terjejas.

Semalam, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, beliau komited meneruskan pembentangan RUU URA untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat.

Katanya, pihak menentang hanyalah bermain sentimen dan politik yang membinasakan.

“Pembentangan esok,” katanya selepas menerima memorandum sekumpulan penduduk yang menyatakan sokongan terhadap URA di pintu masuk Bangunan Parlimen.

Menurutnya,  RUU itu penting kerana ia bertujuan menggantikan akta lapuk yang mengawal selia pembangunan semula kawasan bandar lama yang daif.

Bagaimanapun, cadangan penurunan kadar persetujuan pemilik rumah atau penduduk untuk membolehkan projek pembaharuan dilaksanakan telah menimbulkan kontroversi.

Pihak pengkritik bimbang langkah itu boleh menafikan hak minoriti, kerana mereka berisiko dipaksa mengikut kehendak majoriti.

Kerajaan sebaliknya menegaskan, hak penduduk tetap terjamin melalui skim pampasan yang adil serta perlindungan undang-undang terhadap mereka yang terkesan.

RUU URA bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast