Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pandangan blok pembangkang penting dalam memastikan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berteraskan kepentingan rakyat.

Anwar berkata demikian selepas berkesempatan bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama wakil blok pembangkang di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Anwar, pandangan yang dibawa pembangkang akan menjadi sebahagian daripada proses memperhalusi draf pindaan bagi memastikan pelaksanaan URA lebih inklusif serta tidak meminggirkan mana-mana pihak.

“Pandangan mereka penting dalam usaha memperhalusi pindaan RUU ini agar pelaksanaannya lebih menyeluruh, inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa terbuka mendengar pandangan semua pihak termasuk pembangkang, agar setiap dasar dan pindaan undang-undang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

RUU URA yang dibawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang bagi memberi ruang kepada perbincangan lanjut bersama semua pihak.

RUU tersebut berdepan penolakan kuat daripada wakil rakyat pembangkang dan beberapa dalam kalangan pemerintah, termasuk daripada PKR dan Barisan Nasional.

Di Dewan Rakyat, Anwar menafikan RUU URA yang dibentangkan adalah strategi merampas hak orang Melayu.

Anwar berkata, beliau tidak bersetuju dengan andaian yang dibuat seperti itu, sambil menyatakan beliau bukan seorang perdana menteri boneka.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata, beliau juga akan mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu Bumiputera di negara ini.

Menurutnya, RUU PSB 2025 itu juga adalah bertujuan menyelamatkan masyarakat Melayu khususnya mereka yang tinggal di bandar dan ‘merempat’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast