KAJANG – “Dalam resume, saya akan terus terang apa yang terjadi. Saya harap majikan dan syarikat dapat beri peluang kepada saya,” kata Michael, 36, seorang daripada 77 prospek yang dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) hari ini.

Michael dari Petaling Jaya sebelum ini menjalani hukuman penjara 11 setengah bulan di Penjara Sungai Buloh sebelum ditempatkan di Penjara Kajang dan masih mempunyai baki lapan bulan setengah hukuman.
Beliau yang dihukum atas kesalahan komersial iaitu pelaburan tanpa lesen berhasrat untuk berehat beberapa hari di rumah sebelum kembali mencari pekerjaan.
Michael juga pernah bekerja dalam bidang korporat selama lapan tahun dan menyifatkan prestasi kerjayanya sebelum ini sebagai cemerlang.
Seramai 77 prospek terdiri daripada 72 lelaki dan lima wanita dibebaskan menerusi PBSL dengan majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Fauzi Awang, di Dewan Kelab Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi prospek, hanya dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, dia menjalani hukuman penjara empat bulan atas kesalahan memiliki telefon bimbit curi.
Menurutnya, pengalaman di penjara memberi pengajaran besar dalam hidupnya selain menanam tekad untuk tidak kembali ke tirai besi.
“Saya gembira dapat keluar hari ini dan berazam tak nak ulang benda macam ini. Ini pertama kali masuk penjara dan banyak perkara saya belajar seperti agama dan disiplin diri.
“Keluarga di Sungai Buloh tahu saya telah bebas, tetapi saya akan ditempatkan di rumah perantara bagi mendapatkan pekerjaan.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai penghantar barang dan berharap ada rezeki baik dalam pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Syarikat Oceanic Health & Beauty Sdn. Bhd yang mengambil prospek bekerja memaklumkan pihaknya kini menggaji beberapa bekas banduan di cawangan sekitar Subang Jaya dan Puchong sebagai ahli terapi refleksologi dan urutan badan.

Pengurus syarikat tersebut, Ruby Yong berkata, setiap prospek yang diambil akan diberikan latihan intensif selama seminggu hingga 10 hari sebelum dibimbing dalam aspek kemahiran urutan, disiplin dan perkhidmatan pelanggan.
“Setakat ini lima orang yang kami ambil semuanya menunjukkan prestasi baik dan kembali bekerja dengan komitmen tinggi. Kami mahu berikan peluang kedua kerana mereka bukan tidak berkemampuan, cuma perlu dibimbing.
“Kami anggap mereka seperti keluarga sendiri, sediakan penginapan, pantau kebajikan dan pastikan mereka tidak rasa terasing. Bila diberi peluang, mereka juga mampu berdikari dan berjaya,” katanya.
Ruby menjelaskan, pihaknya memilih untuk menggaji prospek tempatan kerana percaya mereka wajar diberikan ruang memperbaiki kehidupan berbanding bergantung kepada tenaga kerja asing. – MalaysiaGazette















