Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 14 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Kekecohan tercetus di Dewan Rakyat hari ini ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUUPK) 2025 berlangsung.

Ia membabitkan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebentar tadi.

Insiden itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang kecewa dengan sikap kedua-dua wakil rakyat terbabit terpaksa campur tangan bagi meredakan keadaan.

Hujah-hujah berhubung kuasa dan ketelusan RUUPK 2025 yang disampaikan Ahlu Parrlimen Besut, Datuk Che Mohammad Zulkifly Jusoh tiba-tiba panas apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mencelah.

“Saya dengar, bukan saya tidak faham. Awak petik saya, saya tak petik kamu, ok? Awak petik saya, tak faham,” kata Che Mohamad Zulkifly.

Rayer kemudian menyindir dengan mengaitkan latar belakang Che Mohamad Zulkifly sebagai bekas hakim.

“Macam mana Besut jadi Ketua Hakim, tak faham benda-benda asas ni,” soal Rayer.

Namun Che Mohamad Zulkifly segera bangun mempertahankan diri sambil menegaskan bahawa beliau kini berada di Dewan Rakyat sebagai seorang wakil rakyat.

“Sekarang saya Ahli Parlimen tahu, bukan Hakim lagi tahu. Kamu lawyer (peguam), loyar beruk!” katanya sambil menuding ke arah Rayer diikuti sorakan dan ketawa beberapa Ahli Parlimen lain.

Pertikaman lidah antara kedua-dua wakil rakyat itu semakin hangat dengan sindiran menyebabkan suasana persidangan menjadi riuh rendah.

Melihat keadaan semakin tidak terkawal, Johari campur tangan dengan berkata: “Apa perangai Jelutong dan Besut ini? Sikit lagi, minum kopi di luar. Dua-dua orang, Menteri pun tak payah jawab dah. Sebab saya rasa jelas dah tadi,”

Beliau kemudian mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa setiap perkataan yang diucapkan direkodkan dan disiarkan secara langsung kepada rakyat.

“Kita ada 26 kamera di dalam Dewan ini. Apa sahaja yang disebut, rakyat di luar akan dengar. Itu yang menilai sama ada kita cerdik atau tidak. Bukan setakat rakyat Malaysia, seluruh dunia juga sedang memerhati,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast