KUALA LUMPUR – Jika tidak kerana adanya bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dr. Goh Hin Kwang mungkin tidak berada pada kedudukannya selaku Pengarah Hospital Pulau Pinang (HPP) seperti hari ini.

Lahir daripada sebuah keluarga yang sederhana di Pulau Pinang, Dr. Hin Kwang menyedari cita-citanya untuk bergelar seorang doktor akan berdepan cabaran khususnya dari segi perbelanjaan kerana kos pengajian perubatan yang tinggi.

Meskipun kedua-dua ibu bapanya bekerja dengan bapanya merupakan juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala ibunya kerani di sebuah syarikat swasta, namun dia masih mempunyai dua lagi adik yang juga menyimpan impian melanjutkan pengajian ke menara gading, sekali gus turut menuntut perbelanjaan yang besar.

Disebabkan itu, Dr. Hin Kwang tidak melepaskan peluang untuk memohon pinjaman pendidikan PTPTN yang merealisasikan harapannya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan di Universiti Malaya (UM) pada tahun 2002.

Secara keseluruhan, Dr. Hin Kwang menerima pinjaman sebanyak RM35,000 atau kira-kira RM7,000 setahun daripada PTPTN sepanjang lima tahun meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.

Meskipun yuran pengajian di universiti awam (UA) tidaklah terlalu tinggi berbanding universiti atau kolej swasta, namun kos sara hidup di Lembah Klang memerlukan perbelanjaan besar dan pinjaman PTPTN menjadi talian hayat kepada Dr. Hin Kwang untuk bertahan.

Paling utama, pinjaman PTPTN itu dapat memberikan kelegaan buat kedua-dua ibu bapanya yang tidak lagi bimbang berkenaan kos serta perbelanjaan pengajian dan kehidupan beliau sepanjang pengajian di UM.

Atas dasar berterima kasih dan mengenang budi, Dr. Hin Kwang tidak menunggu lama untuk mula membuat bayaran balik pinjaman kepada PTPTN sebaik sahaja beliau mula melangkah ke alam pekerjaan.

Katanya, untuk beberapa tahun terawal, beliau membuat bayaran secara potongan gaji berdasarkan jadual pembayaran balik seperti dipersetujui dalam surat perjanjian pinjaman PTPTN.

Namun, jelasnya, selepas berjaya mengumpulkan wang, beliau memilih untuk membuat bayaran sepenuhnya pinjaman PTPTN yang masih berbaki, sekali gus menikmati insentif diskaun yang ditawarkan oleh PTPTN pada ketika itu.

“Saya berasakan saya mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN melihat kepada betapa besarnya sumbangan dan impak pinjaman PTPTN dalam laluan hidup dan kerjaya saya sehingga ke hari ini.

“Saya sedar dengan bayaran balik pinjaman ini, PTPTN akan mempunyai dana untuk disalurkan kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan dan sudah semestinya banyak kisah-kisah kejayaan generasi muda dalam mencapai cita-cita mereka dapat dilakar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Dr. Hin Kwang, PTPTN telah banyak membantu peminjam kerana banyak kelonggaran dan insentif diberikan untuk mempermudahkan para peminjam membuat bayaran balik pinjaman.

Antaranya, kata beliau, bayaran permulaan yang rendah atau peminjam boleh membuat permohonan penstukturan semula pinjaman pada jumlah bayaran bulanan yang boleh dibincangkan supaya sesuai dengan pendapatan peminjam.

Dengan semua kemudahan yang ditawarkan PTPTN itu, tambahnya, para peminjam sepatutnya tidak mempunyai apa-apa alasan untuk mengelak daripada membuat bayaran balik.

“Paling utama para peminjam PTPTN perlu sedar bayaran balik pinjaman mereka itu amat diperlukan oleh pelajar lain terutama yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian di universiti.”

“Sekiranya mereka sebelum ini mempunyai peluang melangkah ke menara gading dengan pinjaman PTPTN, maka mengapa peluang yang sama untuk pelajar lain itu mahu ditutup atau dihalang kerana sikap mereka yang enggan membayar balik pinjaman,” katanya.

Paling mengecewakan, kata Dr. Hin Kwang apabila ada segelintir peminjam yang memilih untuk mengutamakan gaya hidup mewah seperti melancong ke luar negara dan membeli gajet berjenama, tetapi langsung tidak berusaha membuat bayaran balik kepada PTPTN.

Katanya, beliau tidak mempunyai tentangan terhadap gaya hidup yang mahu diamalkan oleh mana-mana individu, namun untuk mengabaikan sepenuhnya bayaran balik pinjaman kepada PTPTN ketika mereka sebenarnya berkemampuan adalah satu sikap seperti `kacang lupakan kulit’.

“Jadi saya rasa setiap peminjam PTPTN perlu membuang sikap dan pemikiran untuk mengelak daripada membayar balik pinjaman dengan sengaja kerana ia merupakan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Hin Kwang turut berkongsi keistimewaan salah satu produk di bawah PTPTN iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang disifatkan beliau satu kelebihan yang tidak wajar dilepaskan seluruh rakyat.

Katanya, kini dia merupakan pendeposit Simpan SSPN kepada dua anaknya sebagai persediaan untuk mereka melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi tanpa perlu bimbang berkenaan kos pengajian pada masa depan yang pastinya akan sentiasa meningkat.

“Banyak juga manfaat lain yang diperoleh daripada Simpan SSPN ini seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan, dividen dan sebagainya yang saya rasa perlu direbut oleh semua ibu bapa demi kepentingan masa depan pendidikan anak-anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast