Peguam, Naran Singh bercakap pada sidang media Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin selepas proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpa nan (PALAPES) bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian ketika di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 OGOS 2025

SEMENYIH – Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu membenarkan ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendapat hak untuk prosiding inkues kematian anaknya.

Peguam Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, hak itu perlu dilakukan sebagaimana diberikan kepada ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir iaitu Noraidah Lamat dan pasukan peguamnya.

“Saya harap Peguam Negara akan beri arahan mengadakan satu inkues, mesti dan wajib dilakukan. Saya sudah tulis surat, sebelum kita pergi ke Mahkamah Tinggi, tapi tiada jawapan sehingga hari ini.

“Sekarang ada perkembangan baharu, kita buat bedah siasat kedua, bukan berhenti di situ sahaja. Dari segi undang-undang, buatlah inkues supaya kita dapat satu keadilan.

“Sama macam kes Zara Qairina, buat bedah siasat kedua, baru didapati ada beberapa kekurangan seterusnya AGC bagi arahan buat inkues. Semua orang mesti diberi hak yang sama,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Van jenazah yang membawa pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) proses penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian ketika di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu. Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2025.

Terdahulu proses penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Kg Rinching Ulu, di sini, yang bermula jam 8.45 pagi bagaimanapun selesai jam 9.22 pagi tadi.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di sini untuk digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.

Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, di sini, 29 Julai lalu.

Selain itu, Naran Singh berkata, keperluan inkues itu wujud kerana beliau mempunyai klip audio dan transkrip yang mendedahkan pelaku yang didakwa melakukan buli ketika bersama dengan Allahyarham Shamsul Haris.

“Satu audio bersama transkrip satu individu A yang berada di tempat kejadian, saya tadi bagi tahu pegawai polis, saya tunggu temujanji dengan Datuk Kumar (JSJ).

“Saya nak serahkan klip audio dan transkrip (supaya) kita dapat tahu perbuatan siapa.

“Sekiranya ada perbuatan (buli), siapa yang buat, kita tahu (pelaku), Ummu pun tahu, YB (Johan Abd Aziz) pun tahu, tapi kita tidak mahu dedahkan lagi, sebab nak selamatkan penama ini, kita nak jaga keselamatan dia,” katanya.

Sementara itu, Naran Singh turut menafikan laporan berita yang mengatakan beliau mengenakan bayaran mahal dan orang kenamaan.

“Satu lagi berita kata saya peguam yang mahal, peguam VIP itu, semua bohong. Saya buat kes ini pro bono, betul-betul pro bono, awak boleh sahkan dengan dia (Ummu Haiman), demi keadilan saya buat pro bono.

“Banyak berita keluar, saya peguam mahal, peguam high profil bukan begitu Demi keadilan saya buat untuk semua, tak kira bangsa, tak kira siapa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast