Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan tindakan kerajaan membentangkan beberapa rang undang-undang (RUU) secara tergesa-gesa di Parlimen, walaupun Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) sedang dinaik taraf bagi memperkukuh proses reformasi institusi.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan apabila beberapa RUU penting seperti RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Perolehan Kerajaan 2025 dibentangkan tanpa melalui penelitian PSC yang relevan.

“Persoalannya, mengapa RUU ini tidak melalui PSC yang berstatus tetap ini?” katanya dalam  kenyataan.

Menurut Faisal, penaiktarafan PSC sepatutnya membuka ruang lebih besar kepada ahli jawatankuasa untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam proses semak imbang, pemantauan dan pembuatan dasar secara menyeluruh.

Kerajaan sebelum ini telah membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 pada Mac lalu, dalam usaha mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memperkasa institusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Faisal menegaskan bahawa bagi RUU Perolehan Kerajaan, ruang sepatutnya diberikan kepada PSC Kewangan dan Ekonomi yang bertanggungjawab memantau Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Jabatan Perdana Menteri.

Manakala, bagi RUU Pembaharuan Semula Bandar, katanya, Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang memantau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga perlu diberikan ruang sewajarnya.

“Melihat ke hadapan, kita akan melihat beberapa pembentangan RUU penting termasuk RUU Kebebasan Maklumat, RUU Ombudsman dan lain-lain.

“Proses perbahasan RUU mesti ditambah baik selaras dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan reformasi parlimen secara berkesan.

“Jika tidak, usaha reformasi institusi Parlimen akan hanya dilihat sebagai kosmetik yang tidak berasaskan kepada komitmen reformasi sebenar,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast