Lebuhraya Lembah Klang Timur.

AMPANG – Penduduk di sekitar Ampang, Kajang, Semenyih, Hulu Langat dan Bandar Mahkota Cheras bakal menikmati perjalanan lebih lancar apabila Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen 1 dibuka kepada pengguna bermula esok.

Jajaran sepanjang 16.8 kilometer dari Persimpangan Bertingkat Sungai Long ke Persimpangan Bertingkat Ampang itu dijangka mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan pinggir Lembah Klang.

LEbuh raya ini juga memendekkan masa perjalanan antara Ampang dan Kajang kepada kira-kira 20 minit sahaja.

Perasmian laluan tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadiri, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Anwar Ibrahim bersama Amirudin Shari (dua kiri), Alexander Nanta Linggi (dua kanan) dan Naib Pengerusi Eksekutif AZRB, Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda (kiri) ketika merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen 1: Persimpangan Bertingkat Sg Long – Persimpangan Bertingkat Ampang di Plaza Tol Ampang, Lebuhraya EKVE. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 OGOS 2025

ri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua kiri), Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua kanan) dan Naib Pengerusi Eksekutif AZRB, Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda (kiri) ketika merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen 1: Persimpangan Bertingkat Sg Long – Persimpangan Bertingkat Ampang di Plaza Tol Ampang, Lebuhraya EKVE. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 OGOS 2025

Sebagai hadiah kepada rakyat, Anwar turut mengumumkan penggunaan EKVE Seksyen 1 adalah percuma selama sebulan, bermula jam 6 pagi esok sehingga 30 September, jam 11.59 malam.

Sementara itu, kata Alexander, projek itu menjadi sebahagian rangkaian Sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) di bahagian timur yang berfungsi menyuraikan trafik di pinggir Lembah Klang tanpa perlu melalui pusat bandar.

“Lebuh raya ini amat signifikan dalam memperkukuh jaringan jalan raya negara selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat.

”Dengan laluan baharu ini, perjalanan antara Ampang dan Kajang boleh disingkatkan kepada sekitar 20 minit,” katanya.

Seksyen 1 EKVE turut dilengkapi dengan empat persimpangan bertingkat iaitu Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang serta empat plaza tol menggunakan teknologi RFID dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) bagi menyokong pelaksanaan Multi-Lane Fast Flow (MLFF) pada masa hadapan.

Untuk kemudahan pengguna, dua hentian sebelah turut dibina di Hulu Langat, lengkap dengan surau, tandas, wakaf, food truck dan fitment centre bagi pemasangan RFID.

Alexander turut memaklumkan kerja pembinaan Seksyen 2 EKVE sedang berjalan dan akan menghubungkan laluan ini terus ke Ukay Perdana, melengkapkan jajaran penuh EKVE sepanjang 39 kilometer seperti dirancang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast