PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Tangani Buli yang akan melibatkan pelbagai kementerian serta agensi.
berkaitan untuk menyelaras beberapa perkara selepas dibuat beberapa pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia juga termasuk Kanun Keseksaan.
Menurut jurucakap kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, jawatankuasa itu akan memulakan mesyuarat pertamanya pada 2 September depan.
“Jawatankuasa khas ini akan dipenerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Tambah Fahmi, penubuhan jawatankuasa khas yang dipersetujui Mesyuarat Kabinet hari ini adalah sebahagian daripada langkah pembaharuan susulan beberapa pindaan yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Ia juga mengambil kira cadangan Datuk Seri Azalina untuk membentuk sebuah Tribunal Anti Buli yang lebih tinggi bagi menilai isu ini secara menyeluruh,” jelas Fahmi.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, dengan adanya jawatankuasa ini, prosedur operasi standard (SOP) kementerian dan agensi terbabit akan diselaras, diteliti dan dikemaskan.
“Sebelum ini kita ada dimaklumkan mengenai usaha pihak KPM untuk meneliti semula SOP dan pihak Mara yang menguruskan MRSM juga ada hasrat yang sama.
“Jadi melalui jawatankuasa khas ini semua kementerian, agensi jabatan akan diselaraskan kerana dengan diluluskan pindaan dan berkuasa pindaan kepada Kanun Keseksaan dimana Seksyen 507C, D sehingga G telah mula digunapakai bermula Julai 2025,” katanya.
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini dilaporkan sedang meneliti dan mengambil tindakan segera terhadap semua syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat bagi memerangi salah laku buli di institusi pendidikan.
Dalam kenyataan dikeluarkan, KPM memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya. – MalaysiaGazette
















