Foto: FB Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

KUALA LUMPUR – Selepas lebih lapan dekad berada di luar Malaysia, khazanah warisan arkeologi negara yang tersimpan di Belanda, iaitu bahagian serta rangka manusia prasejarah dari Tapak Arkeologi Guar Kepah, Pulau Pinang, akhirnya berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Usaha itu diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN), dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pemulangan itu mencerminkan kejayaan diplomasi budaya Malaysia serta tekad Kerajaan Madani memperkukuh jati diri nasional melalui pemeliharaan sejarah dan warisan bangsa.

Majlis penyerahan rasmi koleksi bersejarah itu berlangsung di Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda, The Hague.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, bersama Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Roseli Abdul; Ketua Pengarah JWN merangkap Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin serta pegawai berkaitan.

Sesi menandatangani Acknowledgement of Transfer (AOT) oleh wakil kedua-dua negara menjadi simbol kejayaan diplomasi budaya ini, yang memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Belanda.

Foto: FB Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

Menurut Unit Komunikasi Korporat MOTAC, proses pemulangan bermula pada 2021 setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan hasrat mempamerkan koleksi itu di Galeri Arkeologi Guar Kepah yang sedang dibangunkan di Seberang Perai Utara.

Katanya, sejak Mac 2023, beberapa siri rundingan telah dijalankan sebelum Kerajaan Belanda bersetuju memulangkan koleksi itu melalui surat rasmi State Secretary for Culture and Media kepada Duta Besar Malaysia.

Sepanjang hampir empat tahun, ujarnya, JWN bersama Kementerian Luar Negeri dan agensi berkaitan memastikan pemulangan ini mematuhi prosedur perundangan kedua-dua negara.

“MOTAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Belanda dan Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda atas persetujuan serta ketangkasan dalam pemulangan koleksi berharga ini.

“Penghargaan turut ditujukan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Belanda, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta semua pihak yang memastikan kelancaran proses ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kejayaan itu jelas melambangkan semangat Madani yang menitikberatkan keberdayaan, akauntabiliti, kesejahteraan, keterangkuman dan hormat-menghormati.

la jelasnya, turut mencerminkan nilai ketelusan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan warisan sejarah tidak terpinggir, malah dikembalikan untuk tatapan rakyat.

“Inisiatif ini turut mengukuhkan kemampanan budaya, memupuk keterangkuman masyarakat dan memperlihatkan kerjasama erat antara kerajaan pusat, negeri serta rakan antarabangsa demi kesejahteraan generasi masa depan,” katanya.

Koleksi Guar Kepah itu akan ditempatkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah mulai September 2025 yang mana galeri tersebut bakal menjadi produk arkeopelancongan utama negara serta pusat interpretasi dan pendidikan warisan prasejarah.

Ia diharap menjadi tarikan berimpak tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh aspirasi Madani dalam memartabatkan jati diri nasional, memperkasa nilai budaya dan mengangkat sejarah negara sebagai sumber kekuatan bangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast