PUTRAJAYA – Laporan mengenai gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 dijangka siap seawal dua minggu lagi, kata Jurucakap Kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi jaminan masalah tersebut akan ditangani segera.

“Menteri Pengangkutan telah memaklumkan bahawa satu laporan akan disediakan untuk memberi penjelasan secara terperinci mengenai apa yang berlaku serta apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mengelak masalah ini berulang pada masa depan,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi, hari ini.

Insiden berkenaan berlaku semalam pada jam 2.15 petang susulan panahan kilat yang menjejaskan penyambungan kabel dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik selama 28 minit di terminal tersebut.

Walaupun berlaku gangguan, operasi lapangan terbang tidak lumpuh sepenuhnya apabila penjana sokongan diaktifkan serta-merta, memastikan sistem penting seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan kekal berfungsi.

Pasukan teknikal KLIA2 turut bertindak pantas dengan mengalihkan bekalan daripada pencawang alternatif sebelum bekalan pulih sepenuhnya dalam tempoh kurang setengah jam.

Sementara itu, Fahmi menjelaskan, Loke juga memberi jaminan sistem sokongan di terminal berkenaan berfungsi dengan baik ketika kejadian berlaku.

“Sistem sokongan yang sedia ada telah memastikan bahawa aspek-aspek kritikal, termasuk sistem keselamatan, tidak terjejas sewaktu kejadian ini berlaku,” katanya.

Menurutnya, kerajaan memandang serius insiden tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam serta reputasi KLIA sebagai pintu masuk utama negara.

“Oleh itu, Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa laporan penuh berhubung insiden ini akan disiapkan dalam tempoh dua minggu bagi memastikan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan segera,” kata beliau.

Fahmi menambah, kerajaan juga mahu pihak MAHB memperkemas pelan kontingensi serta meningkatkan penyelenggaraan sistem bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Laporan ini akan menjadi panduan untuk memperkukuh sistem sokongan di semua lapangan terbang utama negara, bukan hanya di KLIA2,” ujarnya.

MAHB dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya sedang menyediakan laporan penuh untuk dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan selain menjalankan penilaian menyeluruh bagi memperkukuh infrastruktur sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast