KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal cedera selepas dirempuh sebuah van dilanggar lori yang hilang kawalan dalam kejadian di lampu isyarat Taman Meranti Jaya, Sepang hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan enam kenderaan itu sekitar jam 11.35 pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.15 pagi ketika lampu isyarat merah di lokasi kejadian.
Sebuah lori jenis Hino disyaki hilang kawalan telah melanggar bahagian belakang sebuah van jenis Toyota Hiace menyebabkan van itu terbabas di laluan bertentangan dan merempuh dua motosikal Yamaha 135LC.
“Lori itu turut melanggar sebuah kereta jenis BMW menyebabkan kereta itu menggelongsor ke hadapan dan terlanggar belakang sebuah lagi kereta jenis Proton X50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu kenderaan yang terlibat mengalami pelbagai kerosakan dan dua penunggang motosikal cedera dihantar ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut kemalangan ini masih diteruskan dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya lain.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkasaan IPD Sepang atau Inspektor Nurulsakela Ramlee di talian 019-5588221. – MalaysiaGazette
















