KUALA LUMPUR – Kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tun Siti Hasmah Mohd Ali di atas pentas bersama menjadi kemuncak persembahan Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) – Sounds Of Malaysia.
Berlangsung di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil memainkan biola yang merupakan hadiah daripada Siti sendiri yang menyampaikan lagu Gubahanku.
Yang turut hadir menyaksikan persembahan tersebut adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad; Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd. Yusri Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya (IB), Johan Cruyff @ Mohd. Johari Md. Nordin.
Kira-kira 3,000 penonton turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, tarian, alunan muzik dan seni bela diri gabungan OTM serta bakat-bakat dari MMU.
Majlis turut diserikan dengan penampilan Bob Yusof yang mempersembahkan beberapa buat lagu. – MalaysiaGazette















